Masa untuk fokus diri

KALI terakhir tampil dengan lagu solo berjudul Buat Selamanya pada 2017, kesibukan Alyph berpaksi kepada menerbitkan karya artis lain beberapa tahun kebelakangan ini. Ruang untuk karya peribadinya kian menjauh dan terputus seketika.

Justeru, Alyph atau nama sebenarnya Muhammad Alif Abdullah, 31, nekad ambil keputusan untuk kembalikan fokus buat dirinya mulai Oktober tahun lalu. Jiwa penyanyi kelahiran Singapura ini meronta untuk selami dirinya semula.

Menurutnya, dia dambakan ruang peribadi yang diketepikannya agak lama dan dirindukan. Hakikatnya, saban tahun bekerja keras memerah keringat demi karya terbaik untuk orang lain, dia berhak curahkannya kepada diri sendiri pula.

“Pada Oktober tahun lalu, saya rasa kena berehat sebab saya rindu memberi masa untuk diri 100 peratus. Jadi, satu tahun ini saya memang gunakan untuk bersama keluarga, buat muzik, cantum semula diri sejak kali terakhir hasilkan karya solo lagu Buat Selamanya.

“Saya minta kepada pengurus untuk berehat selama setahun. Ini kerana semakin jauh daripada diri sendiri, saya sudah beri banyak kepada artis yang produk mereka diterbitkan. Saya nak fokus kepada diri sendiri pula hingga saya puas.

“Saya rasa berhak untuk mendapat kembali ruang sendiri. Saya berhak untuk beri perhatian lebih kepada diri dan tidak seharusnya memberi had masa untuk tujuan itu. Alhamdulillah, artis lain sangat memahami situasi saya dan memberi ruang yang diperlukan,” katanya.

Terbukti, dia tidak sia-siakan ruang itu dan terbaharu muncul mempertaruhkan lagu berjudul Adakah Kau Mendengar. Hakikatnya, rata-rata pengikut Alyph teruja kerana penantian mereka berbaloi dengan hasil lagu berkenaan.

Corak pendekatan terhadap susunan muziknya ternyata inovatif dan unik pada tahap tersendiri. Nadanya kaya dengan elemen segar, bunyi terkini dan aura mendalam tapi masih berat dalam identiti Alyph.

Berkongsi secara terperinci, karya lagu Adakah Kau Mendengar bagi Alyph masih dalam orbit konsep lagu-lagu solo terdahulunya. Meski ditulis separa fiksyen, dia menitikberatkan kesan lagu itu mampu dikaitkan dengan kisah sebenar dialami pendengar.

“Adakah Kau Mendengar ternyata lagu yang sempurna untuk dikeluarkan sebagai lagu kemunculan kembali. Jalan ceritanya seperti lagu-lagu solo lain saya. Walaupun saya suka bercerita hal yang benar terjadi di luar, tapi tidak semestinya cerita saya sendiri.

Syabu dan ekstasi  bernilai RM2.06 juta yang dirampas.
Syabu dan ekstasi bernilai RM2.06 juta yang dirampas.

“Ia bagaikan fiksyen tapi sangat berhubung kait dengan ramai orang. Saya gabungkan banyak situasi untuk jadikannya satu cerita. Lagu ini tiada motif atau mesej, sebaliknya cuma cerita seorang insan yang kesunyian, banyak masalah.

“Dia mengharapkan ada orang tolong dia dengan apa cara pun. Bila pertolongan itu datang, dia sambar saja. Tapi masalahnya, pertolongan pertama itu rupanya berbahaya tapi dia ambil kerana dia ingat akan membantu.

“Bagaimanapun, pengakhirannya, pertolongan itu bersifat sementara, dia masih belum pulih daripada permasalahannya. Ia cuma memberi keseronokan sekejap buatnya. Ternyata ia bukan solusi, sekadar eskapisme,” katanya.

Tema bercerita adalah titik fokus yang Alyph sentiasa ingin tekankan dalam karya solonya. Baginya, dia enggan menetapkan mesej tertentu dalam lagunya sebaliknya mementingkan saluran emosi itu lebih kaya.

Secara peribadi, menurutnya muzik adalah perasaan dan emosi. Justeru, apabila membuat sesuatu lagu, dia cuba sedaya-upaya untuk tidak mahu timbul putar belit.

“Saya tidak mahu menjadi pemberi nasihat. Saya cuma mahu bercerita supaya pendengar tahu, saya ambil berat mengenai sesebuah isu yang berlaku di mana-mana. Saya pernah rasa kesunyian terutama sewaktu di Kuala Lumpur.

Saya kena bergerak sendirian, tentu sekali menjentik emosi dan begitulah juga yang menerpa diri saya. Tapi ia bukannya cerita sebenar diri sendiri. Kalau saya jadikannya terlalu peribadi, ia takkan mampu difahami semua orang kerana mereka bukan di tempat saya.

“Saya tidak mahu hasilkan cerita sendiri, saya mahu cerita yang semua orang boleh kaitkan dengan mereka. Saya sedar bahawa lagu yang mempunyai makna tersirat, saya sendiri sebagai pendengar memang takkan minat sangat,” katanya.

Guna pemikiran sendiri ubah industri

Berjaya menyuntik ideologinya sendiri dalam industri muzik Malaysia, misi Alyph sekarang adalah untuk tidak berhenti mengubah corak pemikiran dalam industri. Dia sedaya-upaya mahu runtuhkan benteng yang kerap jadi sekatan dalam radar muzik tempatan.

Baginya, konflik utama yang harus diberi perhatian dalam industri adalah konsep sohor kini dan perlu diikut setiap artis. Di matanya, hal itu perlu diubah apalagi kesan jangka masa panjangnya mampu ranapkan kreativiti seseorang artis.

“Kita tidak perlu tetapkan ‘trend’ daripada segi genre. Saya tak nak perkara itu. Bila ia terjadi, kita akan kehilangan artis bergenre lain yang bagus. Disebabkan mahu mengikut ‘trend’ mereka terpaksa suntik elemen bukan luhur dari jiwa mereka.

“Perkara sebegini hanya akan mengubah dan leburkan potensi sebenar seseorang penyanyi itu. Sepatutnya, lebih baik pendengar boleh nikmati dan suka kepada banyak genre berbeza. Itulah misi sebenar saya untuk terus memecahkan tembok had sebegitu.

“Namun sekarang, saya mahu lakukannya kepada diri sendiri pula. Batasnya bukan genre, tapi saya nak sentiasa cuba cara lain. Saya nak membuka pemikiran industri dengan pemikiran saya,” katanya.

Apapun, Alyph berjanji akan terus kekalkan imej sebagai penerbit muzik, artis rap dan penyanyi. Dia berharap apabia peminat mengikuti karyanya, mereka bukan sekadar dengar lagunya malah akan turut kaji pemikiran belakangnya.

Dalam pada itu, Alyph berkata, dia tidak menyekat dirinya untuk menjayakan projek lain meski dalam tempoh fokus pada dirinya saja. Dia sedia melakukannya jikalau masa mengizinkan selain inspirasi menyebelahi.

“Bukan bermaksud, saya akan sekat projek-projek lain. Sebaliknya, saya memang akan buat juga jika saya dapat inspirasi, ataupun tidak mengganggu karya peribadi saya. Perhatian untuk diri sendiri adalah nombor satu buat masa ini.

“Bila terbitkan lagu untuk penyanyi lain, niat saya ikhlas menjadikan industri lebih versatil. Saya bukan penerbit yang sekadar buat dan bagi demo sahaja. Saya memberi secebis daripada diri kepada artis itu dan saya akan cantumkan daripada segi fesyen, muzik video, penjenamaan dan imej kerana itu setiap lagu saya selesa terbitkan tersendiri,” katanya.