Masjid al-Aqsa ditutup sepanjang Ramadan

Seluruh pekarangan kompleks dan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis akan ditutup kepada orang awam sepanjang bulan Ramadan ekoran kebimbangan wabak COVID-19. -Reuters

BAITULMAQDIS: Seluruh pekarangan kompleks dan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis akan ditutup kepada orang awam sepanjang bulan Ramadan ekoran kebimbangan wabak COVID-19, umum majlis ulama di sini.

Agensi Wakaf Baitulmaqdis yang menjaga lokasi Islam di kawasan berkenaan menyifatkan pengumuman itu sesuatu yang memedihkan.

Dalam satu kenyataan yang diterbitkan pada Khamis, majlis itu menyifatkan langkah berkenaan selari fatwa ulama selain langkah keselamatan kesihatan.

Majlis itu juga mahu umat Islam menunaikan solat di rumah masing-masing untuk menjaga keselamatan.

Bagaimanapun, azan solat fardu akan terus berkumandang seperti biasa selain pekerja di kompleks berkenaan masih dibenarkan bertugas.

Keputusan larangan untuk solat di kompleks itu sudah diumum pada 23 Mac lepas.

Ramadan pula dijangka bermula pada 23 April di sini.

Masjid itu biasanya menarik puluhan ribu umat Islam untuk beribadat sepanjang Ramadan dan solat Tarawih.

Langkah berjaga-jaga COVID di Baitulmaqdis yang menempatkan tempat beribadat untuk agama Yahudi, Kristian dan Islam juga sudah diambil sejak awal lagi.

Israel melaporkan sekurang-kurangnya 140 kematian dan hampir 12,600 kes COVID-19.

Pihak Berkuasa Palestin pula mencatatkan dua kematian dan hampir 400 kes di Tebing Barat yang dijajah dan Semenanjung Gaza.

Semua masjid di Gaza juga ditutup sejak 25 Mac, dan di Tebing Barat sejak 14 Mac.