Masuk gv7 demi peminat

BAGI peminat setia program realiti Akademi Fantasia (AF), tentunya nama salah seorang bekas peserta iaitu Linda Nanuwil tidak asing lagi.

Pernah menghangatkan bidang nyanyian tanah air dengan lagu Jika Kau Kekasih, pemenang tempat kedua AF musim kedua itu kini mengubat kerinduan peminatnya, menerusi kemunculan di program Gegar Vaganza 7 (GV7) pula.

Lapan tahun menyepi, Linda atau nama sebenarnya Norlinda Nanuwil kini bersiap sedia secara mental dan fizikal untuk mengorak langkah sebagai peserta dalam program yang mencetuskan fenomena itu.

“Sebenarnya, saya dah buat kemunculan semula pada 2018 selepas lapan tahun menyepi. Tapi, ramai yang tak tahu saya masih lagi aktif menyanyi di Sabah.

“Selepas muncul semula, saya sendiri bersyukur kerana masih ada lagi peminat yang setia menantikan kemunculan ini. Merekalah yang menyarankan saya untuk mencuba nasib menyertai GV,” katanya.

Pernah berada dalam program realiti TV, Linda tidak menolak tekanan besar yang bakal dihadapinya.

“Saya pernah sertai AF dan tahu bagaimana tekanan berada dalam sesuatu pertandingan berskala besar. Jadi, banyak kali juga saya fikir sama ada patut sertai GV7 atau tidak.

“Tanpa dijangka, peluang itu datang depan mata dan saya kuatkan hati untuk menerimanya dan menjadi salah seorang peserta dalam GV7,” katanya.

LINDA bersama komposer lagu Ikhlaskan Hatimu, Ajai dan rakan seperjuangannya, Afif AF.
LINDA bersama komposer lagu Ikhlaskan Hatimu, Ajai dan rakan seperjuangannya, Afif AF.

Selaku bekas peserta AF pertama diberi peluang untuk menyertai GV, diakui juga satu kebanggaan buat Linda. Tambahnya, dia berharap ini menjadi pembuka tirai buat rakan-rakannya yang lain.

“Sebelum ini, tak ada lagi bekas peserta AF yang diberi peluang untuk menyertai GV. Mungkin, selepas ini Astro akan membuka pintu atau jalan buat bekas peserta AF lain.

“Jadi, diharapkan supaya pembabitan saya dalam GV7 ini menjadi titik permulaan untuk rezeki buat mereka (rakan lain) bina kerjaya seni semula,” katanya.

Bercerita mengenai industri seni, anak kelahiran Ranau, Sabah itu juga tidak menolak mengenai media sosial dan sikap warganet masa kini yang nyata berbeza dengan zaman ketika awal kemunculannya dahulu.

“Kalau dulu, warganet tidak seperti apa yang kita lihat hari ini. Saya sendiri pun baharu saja membuka akaun Instagram pada 2018. Kadang-kadang saya aktif dan ada masa tak aktif.

“Tapi, sekarang disebabkan sudah menyertai GV7, saya sedar media sosial menjadi platform yang penting untuk berinteraksi dengan peminat dan saya harus akur dengan hakikat itu,” katanya.

Sudah sedia hadap warganet

Ditanya mengenai persiapannya untuk berdepan dengan warganet, Linda berkata, dia akan memberi tumpuan kepada komen positif dan membina sahaja.

“Saya akan beri tumpuan kepada komen positif yang membina kerana kritikan negatif akan memakan diri. Kalau ada pun, saya takkan endah.

“Sebab itulah saya beritahu, harus kuatkan mental dan fizikal diri kerana cabarannya berbeza berbanding sebelum ini,” katanya.

Linda juga berharap supaya GV7 menjadi platform untuknya menimba pelbagai ilmu baharu daripada mereka yang lebih berpengalaman.

“Dalam senarai peserta, rasanya saya adalah antara artis yang paling baharu dari segi pengalaman berbanding barisan peserta lain.

“Jadi, saya akan gunakan peluang dan platform yang ada ini untuk bertanding dan pada masa sama belajar ilmu baharu daripada mereka yang lebih ‘otai’ dan berpengalaman,” katanya.

GV7 akan disiarkan secara langsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Astro Ria dan Astro Ria HD mulai 11 Oktober ini, jam 9 malam.

Terbaharu, Linda kini tampil dengan lagu baharu berjudul Ikhlaskan Hatimu hasil ciptaan komposer Ajai manakala liriknya ditulis oleh Lukman S.