Mat Salam tumpas, Mapler ghaib

Kuala Lumpur: Seorang daripada tokan dadah yang dikehendaki di Langkawi dan dikaitkan sebagai konco seorang anggota polis yang memayungi kegiatannya dikenali sebagai Mat Salam sudah ditahan.

Suspek dikatakan ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi baru-baru ini.

Mat Salam ditahan sebelum penangkapan dua anggota polis dari Balai Polis Kuah yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran, penyeludupan dan melindungi sindiket.

Sebelum ini, Skuad Khas Harian Metro melaporkan kegiatan Mat Salam yang dilindungi anggota polis dikenali sebagai Mr N.

Dalam perkembangan sama, seorang lagi tokan dadah dikenali Mapler yang mengawal kawasan Padang Matsirat menghilangkan diri dan usaha mengesannya sedang dijalankan.

Dalam perkembangan sama, polis Langkawi sudah menahan tiga lelaki, sekali gus melumpuhkan rangkaian jual beli dadah dalam tiga serbuan berasingan di persekitaran Kampung Bukit Malut, Sabtu lalu.

Portal Harian Metro memetik Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim sebagai berkata, ketiga-tiga lelaki termasuk remaja berusia 19 tahun itu ditahan dalam operasi sepasukan anggota dari BSJN IPD Langkawi.

“Menerusi serbuan pertama pada 6.25 petang Sabtu lalu, kami menahan seorang lelaki di jalan utama ke kampung itu dan pemeriksaan menemui 10 keratan straw berisi heroin seberat 2.30 gram (g) di dalam poket seluar.

“Siasatan ke atas suspek pertama membawa kepada tangkapan remaja lelaki berusia 19 tahun di kawasan berhampiran dan menemui 17 keratan straw dadah sama seberat 4.0g,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, hasil maklumat suspek kedua, polis menahan seorang lagi lelaki dalam serbuan ke sebuah rumah di jalan ke kolam udang di kampung berkenaan 10 minit kemudian.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui satu peket plastik lutsinar berisi heroin seberat 4.80g dalam genggaman tangan kanan suspek.

“Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah morfin, selain dua daripadanya turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Bermula 3 September lalu, laporan bersiri Skuad Khas Harian Metro membongkar kegiatan penagihan dan penjualan dadah membabitkan tokan kecil didakwa dikawal anggota polis dikenali sebagai Mr N.

Isu itu mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mengakui beliau menyedari kegiatan berkenaan namun memberitahu pihaknya sudah mengambil beberapa langkah drastik untuk mengatasinya.

Khamis lalu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan penahanan dua anggota Balai Polis Kuah, Langkawi kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di pulau peranginan itu.

Selain itu, dua lelaki tempatan dipercayai tokan dadah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan Harian Metro turut melaporkan dalam siaran muka depan bertajuk Rangkaian Dadah Langkawi Digempur.