Maut kereta jatuh dari tingkat 3 parkir apartment

WARGA emas maut apabila kenderaan dipandunya terbabas dan terjatuh dari tingkat tiga tempat letak kereta sebuah apartment di Bandar Baru Sentul di Kuala Lumpur, hari ini.

Lelaki berusia 63 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.18 petang.

Komander Operasi Kanan, Hafizan Hassan berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi.

“Mangsa lelaki warga emas memandu pacuan empat roda Toyota Land Cruiser dipercayai terlanggar tembok tempat letak kereta sebelum kenderaannya terjunam ke bawah.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

KEADAAN kenderaan dipandu mangsa yang terbabas dan terjatuh dari tingkat tiga tempat letak kereta sebuah apartment. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN kenderaan dipandu mangsa yang terbabas dan terjatuh dari tingkat tiga tempat letak kereta sebuah apartment. FOTO Ihsan Bomba