Mawar sudah sedia

SEDAR tak sedar, pelakon, Mawar Rashid kini bakal menimang cahaya mata kedua hasil perkahwinan dengan suami, Raf Yaakob selepas kedua-duanya diijabkabulkan pada 9 November 2017.

Melalui proses kehamilan dalam tempoh krisis pandemik Covid-19, Mawar yang popular menerusi drama Tundukkan Playboy Itu berkata, pengalamannya berbeza berbanding ketika hamil anak pertama, Raden Muhammad Rafael.

“Kalau berbicara mengenai proses kehamilan dan persediaan untuk kandungan kali ini, tentunya ada banyak perbezaan yang saya sendiri rasai.

“Disebabkan pandemik ini, saya tak banyak berada di luar. Kalau nak beli barang keperluan pun, saya akan senaraikan apa yang diperlukan dan sentiasa patuh dengan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Membuka sesi temu bual, Mawar yang dijangka bakal melahirkan cahaya mata perempuan menjelang pertengahan Januari 2021, berkata dia dan suaminya juga sentiasa mengelakkan melakukan aktiviti berisiko tinggi.

“Memandangkan saya sudah sarat mengandung, Raf pun perlu mengikut SOP dan mengelak daripada melakukan aktiviti berisiko contohnya, ke gimnasium.

“Tempat-tempat yang ramai orang memang kami sangat elakkan. Kalau masuk ke pusat beli- belah pun, kami tak bawa anak-anak kerana tak mahu mengambil risiko.

“Sekali-sekala bolehlah keluar. Itu pun selepas kerajaan benarkan. Namun, penjarakan fizikal dengan orang awam masih kami kekalkan,” katanya.

MAWAR bersama suami, Raf Yaakob.
MAWAR bersama suami, Raf Yaakob.

Menetap bersama dua anak hasil perkahwinan suaminya dengan bekas isteri, Mawar berkata, kedua-dua anak tirinya menerima kehadiran cahaya mata kedua ini dengan baik.

“Anak sulung, Raden Seri Raysaa Chanela kini berusia sembilan tahun, manakala anak kedua, Raden Ahmad Rayyan berusia lima tahun. Jadi, mereka dah faham dan teruja menantikan kehadiran adik baharu.

“Berbeza pula dengan anak saya yang lagi seorang iaitu Rafael yang sekarang nak menginjak usia dua tahun.

“Ketika ini adalah fasa di mana dia suka bermanja dan mula mengenali ibu bapanya. Mencabar juga untuk bagi faham, yang dia akan menjadi abang tidak lama lagi,” katanya.

Namun, Mawar sendiri teruja kerana dia ingin membentuk anak-anaknya seperti mana hubungan erat antara dia dengan adik-beradik yang lain.

“Dalam keluarga saya, jarak umur antara saya dengan adik beradik yang lain tak jauh. Jadi, kami semua sangat rapat di antara satu sama lain.

“Insya-Allah, saya nak didik anak-anak saya sama seperti kami adik-beradik dibesarkan. Biar mereka semua rapat dan sayang antara satu sama lain,” katanya.

MAWAR bersama keluarga di majlis pengumuman jantina bayi.
MAWAR bersama keluarga di majlis pengumuman jantina bayi.

Instagram untuk anak

Berkongsi mengenai kehadiran cahaya mata kedua ini lagi, Mawar bukan saja melakukan persediaan biasa, bahkan dia juga sudah membuka akaun Instagram khas untuk puterinya itu.

“Sebelum ini, Rafael pun ada akaun Instagram sendiri. Jadi, untuk anak yang ini pun saya dah buka akaun Instagram khas. Kalau boleh, biarlah memori itu terpahat di platform berkenaan buat tatapan kami.

“Bukan apa, saya nak jadikannya sebagai tempat untuk kami tinggalkan memori bersama. Kalau dahulu, gambar-gambar dicetak dan disimpan dalam album. Jadi, sekarang kita simpan di dalam media sosial seperti Instagram, katanya.

Kehadiran cahaya mata baharu ini juga hadir bersama rezeki buatnya sekeluarga.

“Selain itu, ada juga kami terima tajaan daripada satu jenama barangan bayi yang sudi untuk menaja selama setahun. Alhamdulillah atas rezeki ini,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya lakonan, Mawar ingin memberi fokus kepada keluarga buat sementara waktu dan akan kembali bekerja apabila sudah bersiap sedia.