Mayat suspek utama kes bunuh ditemui tergantung di papan iklan

SUSPEK utama kes pembunuhan jurujual wanita yang dibunuh di Taman Kelisa Ria, Amanjaya, Sungai Petani, semalam, ditemui mati tergantung di papan iklan di Jalan Lencongan Timur dekat Bukit Bintang, hari ini.

Mayat Tan Kok Jooi, 62, yang juga suami kepada mangsa bunuh, Kuek Choo Hong, 61, ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan 7.40 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pengecaman mayat dilakukan ahli keluarganya yang hadir di tempat kejadian.

“Pagi ini kita menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengatakan terdapat seorang lelaki menggantung diri di papan iklan.

“Siasatan awal mendapati lelaki terbabit adalah suspek yang dicari bagi membantu siasatan kes pembunuhan isterinya semalam,” katanya dalam sidang media hari ini.

Adzli berkata, pihaknya turut menemui sebuah kereta yang disahkan sebagai milik lelaki terbabit ditinggalkan kira-kira 50 meter dari tempat dia ditemui tergantung.

Beliau berkata, siasatan awal unit forensik ke atas kereta berkenaan tidak menemui sebarang petunjuk yang bersangkut dengan pembunuhan itu.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Semalam, Choo Hong ditemui mati dengan kesan kelar di leher dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah serta muka ditekup dengan bantal di rumahnya.

Dalam perkembangan sama, Adzli berkata, walaupun suspek utama kes berkenaan ditemui mati, pihaknya akan meneruskan siasatan berhubung kes pembunuhan jurujual berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya percaya kejadian itu dilakukan oleh orang dikenali berdasarkan tiada kesan pecah masuk ke rumah berkenaan sebelum mayat ditemui.

“Siasatan lanjut di rumah turut menemui sehelai seluar jeans yang lembab di dalam mesin basuh dipercayai sudah dibasuh, jadi kita akan tetap meneruskan siasatan ke atas kes pembunuhan itu,” katanya.

Berita berkaitan

• Jurujual ditemui mati dengan kesan kelar