Mayat warga China tersepit berjaya dibawa keluar [METROTV]

Kuala Lumpur: Selepas hampir 48 jam, mayat seorang pekerja warga China yang terhimpit di antara struktur besi akibat komponen kren gantri jatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai, di sini, berjaya dikeluarkan awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, beliau bersama dua anggota bomba membuat penilaian risiko di atas struktur berkenaan menggunakan kren, jam 2.15 pagi.

“Selepas berpuas hati dengan penilaian dilakukan, tiga anggota bomba yang memakai pakaian perlindungan diri (PPE) menaiki kren, jam 3.09 pagi, sebelum mangsa berjaya dikeluarkan jam 3.50 pagi.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Turut hadir di lokasi kejadian adalah Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon.

Nordin berkata, pihaknya bersama beberapa agensi lain termasuk pihak polis, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan syarikat kontraktor membuat keputusan tepat dengan mengambil tindakan segera mengeluarkan mangsa.

“Pasukan penyelamat mengambil keputusan tepat kerana kita tidak boleh menunggu lama berikutan keadaan mayat sudah mula mereput dan ini adalah peluang terbaik mengeluarkan mangsa.

“Kami berdepan dengan kesukaran untuk mengeluarkan mayat mangsa berikutan keadaan beam tidak stabil dan kami mengambil masa lebih daripada sehari untuk menstabilkan beam berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Mokhsein berkata, mayat mangsa akan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat.

“Siasatan kes ini akan diserahkan kepada pihak JKKP untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap JKKP Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya akan memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian jam 9 pagi ini.

 Mayat mangsa pekerja kontrak yang maut tersepit berjaya dikeluarkan oleh angota Bomba dalam kejadian sebuah kren 'launcher' yang digunakan dalam projek pembinaan lebuh raya di Persiaran Alam Damai, Cheras tumbang pada isnin lalu. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Mayat mangsa pekerja kontrak yang maut tersepit berjaya dikeluarkan oleh angota Bomba dalam kejadian sebuah kren ‘launcher’ yang digunakan dalam projek pembinaan lebuh raya di Persiaran Alam Damai, Cheras tumbang pada isnin lalu. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Nordin dipetik berkata, identiti tiga mangsa warga China yang maut sudah dikenal pasti sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng.

Dalam insiden jam 8.45 pagi kelmarin, lima buruh asing dan seorang lelaki warga tempatan terbabit dalam kejadian berkenaan.

Dua buruh asing maut terjatuh dari ketinggian 40 meter, seorang maut kerana tersepit pada struktur besi manakala dua lagi terselamat.

Pemandu kereta Perodua Bezza, Low Zy Jing, 33, yang ditimpa komponen kren gantri itu cedera pada leher dan mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.

Berita berkaitan:

  • SUKE diminta periksa semua komponen kren gantri, rasuk [METROTV]
  • Komponen kren terjatuh: Kebajikan mangsa, keluarga diberi perhatian
  • Proses keluarkan mayat ketiga insiden komponen kren jatuh diteruskan
  • Pasang lebih banyak papan tanda amaran di kawasan pembinaan SUKE
  • Komponen kren jatuh: Identiti mangsa dikenal pasti
  • Usaha mengeluarkan mayat terakhir masih dijalankan
  • Jalan perlu ditutup jika alih struktur berat – Fadillah [METROTV]
  • Kaji punca kemalangan di tapak pembinaan – PPJK [METROTV]
  • 3 maut tragedi komponen kren gantri terjatuh [MetroTV]