‘Medina Safiya, Medina Sofiya comey lotey’

Tumpat: “Tengku Mahkota dan isteri teruja memangku bayi kembar saya dan cik puan (Sofie) sempat memuji ‘comey lotey’,” kata Syazwan Najmi Zulkarni, bapa kepada bayi kembar perempuan yang kematian ibu akibat komplikasi selepas bersalin.

Semalam, bayi perempuan kembar itu, Medina Safiya dan Medina Sofiya dikunjungi pasangan diraja, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan isteri, Cik Puan Sofie Louise Johansson di kediaman keluarga di Kampung Pak Keral, di sini.

Syazwan Najmi, 23 berkata, ketika kunjungan kira-kira jam 2 petang itu, pasangan diraja berkenaan meluangkan masa lebih kurang setengah jam bertanya khabar mereka sekeluarga dan melayan bayi kembarnya yang kini sudah menjangkau usia lima bulan.

“Tengku Mahkota memberitahu, Cik Puan Sofie ada terbaca kisah kami menerusi Facebook dan meluahkan rasa simpati sebelum mengambil keputusan berkunjung ke sini dan bertemu sendiri bayi kembar saya ini.

“Ketika kunjungan mereka semalam, Cik Puan Sofie kelihatan seronok melayan dua anak saya sambil memberi pujian ‘comey lotey,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini memaparkan kisah pilu yang menimpa isteri Syazwan Najmi, Allahyarham Siti Nur Nasuha Shafie, 23, yang meninggal dunia pada 14 April lalu selepas dua minggu bertarung nyawa akibat komplikasi dalaman selepas bersalin.

Arwah yang melahirkan bayi kembar perempuan pada 31 Mac tidak sempat menatap kedua cahaya mata sulung kerana berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Syazwan Najmi berkata, Tengku Mahkota turut berpesan kepadanya agar menjaga dua amanah itu dengan baik dan tabah dalam membesarkan mereka malah jangan keberatan untuk memaklumkan jika mempunyai sebarang masalah.

Dia meluahkan rasa terharu dengan kunjungan pasangan diraja itu dan rasa seakan tidak percaya apabila kisah mereka mendapat perhatian sehingga ke istana.

“Kami dihubungi wakil istana dua minggu lalu mengenai kunjungan ini dan mula melakukan persediaan sebaiknya untuk menerima kedatangan Tengku Mahkota dan Cik Puan Sofie.

“Sehingga hari ini rasa gementar masih ada kerana tidak pernah bermimpi untuk berdepan dengan pemimpin secara berdepan apatah lagi dari kalangan istana,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Takkan serah anak kepada orang lain [METROTV]
  • Medina Safiya, Medina Sofiya cinta hati Syazwan
  • Kembar jadi penguat semangat [METROTV]
  • Rindu Syazwan kepada Nur Nasuha [METROTV]
  • Ibu meninggal tanpa sempat tatap wajah bayi kembar