Membuai emosi

SIAPA sangka dalam tempoh lima hari dilancarkan, single terbaharu penyanyi Nabila Razali berjudul Peluang Kedua mencecah lebih 2.2 juta tontonan di YouTube.

Lebih mengujakan, lagu ciptaan Hael Husaini itu turut mendapat lebih 1,000 nyanyian semula (cover) sebelum dilancarkan secara rasmi pada 16 April lalu.

Bersyukur dengan respons baik peminat terhadap single kelimanya itu, Nabila menganggap lagu yang membuai emosi itu menyerlahkan sisi lain dirinya menerusi genre balada.

“Alhamdulillah, walaupun banyak dugaan kami berjaya melalui proses pembikinan lagu ini dengan baik. Lirik lagu ini sangat mendalam sehingga saya sendiri menangis ketika pertama kali mendengar demo daripada Hael. Liriknya juga lebih dekat dengan hati masyarakat terutama yang sedang bercinta mahupun putus cinta,” katanya.

Menurut Nabila, dia mengakui berdepan pelbagai cabaran sepanjang proses pembikinan lagu berkenaan termasuk penggambaran yang terpaksa ditangguhkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Banyak cabaran dilalui dan saya pasti semuanya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Sepatutnya muzik video lagu ini melalui proses penggambaran pada 20 Mac lalu, tetapi disebabkan PKP kami terpaksa menunda dan melancarkan video lirik dahulu.

“Mengikut perancangan asal, kami juga ingin melancarkan lagu ini selepas Aidilfitri, namun disebabkan menerima permintaan tinggi dan bimbang peminat marah kerana perlu tunggu terlalu lama kami lancarkannya,” katanya.

Peluang Kedua mengisahkan mengenai seseorang yang ingin membetulkan kesilapan dalam hubungan dan meminta untuk diberikan peluang kedua.

SENTIASA tampil dengan pelbagai gimik untuk setiap buah tangan terbaharu.
SENTIASA tampil dengan pelbagai gimik untuk setiap buah tangan terbaharu.

Terima 40,000 mesej WhatsApp

Jika melihat perjalanan seni penyanyi berusia 28 tahun ini, Nabila sentiasa tampil dengan pelbagai gimik untuk setiap buah tangan terbaharu daripadanya.

Kali ini, Nabila dikatakan buat ‘kerja gila’ apabila menunaikan janjinya kepada peminat dengan berkongsi nombor telefon peribadi selepas lagu terbabit menerima satu juta tontonan.

Teruja dengan sambutan luar biasa terhadap lagu baharunya itu dan mengakui telefon bimbitnya tidak henti berdering dan dihujani mesej di WhatsApp.

“Sehingga kini saya menerima lebih 40,000 mesej di WhatsApp. Saya sendiri terkejut dengan maklum balas positif peminat terhadap lagu Peluang Kedua ini. Buat masa ini, saya hanya sempat menjawab beberapa panggilan apabila mereka meminta saya sendiri menyanyikan lagu Peluang Kedua secara langsung. Baru saja letak telefon, sudah ada panggilan baru.

“Belum lagi mesej yang menderu masuk sehingga telefon bimbit saya tersekat. Namun saya akan cuba melayan mesej yang masuk itu. Lebih melucukan ada juga peminat yang mencipta kumpulan WhatsApp supaya saya dapat berinteraksi dengan keluarga serta rakan mereka. Apapun saya sangat gembira dan tak sangka dengan maklum balas luar biasa seperti ini,” katanya.

Terdahulu, Nabila membuat pengumuman mengejut di Instagram apabila bakal berkongsi nombor telefon peribadinya jika video lirik lagu Peluang Kedua mencapai satu juta tontonan pada hari kedua pelancaran.

Dalam pada itu, Nabila turut menyangkal dakwaan cuba meniru cara penghibur antarabangsa, Ali Gatie yang terlebih dahulu mendedahkan nombor telefon peribadinya kepada peminat di Malaysia menerusi platform Twitter pada awal Mac lalu.

Kata Nabila, dia mempunyai alasan tersendiri untuk berkongsi nombor telefon peribadinya kepada peminat, namun tidak mengetahui niat utama Ali.

“Berkongsi nombor peribadi di laman sosial bukan satu ‘trademark’. Sesiapa saja boleh berbuat demikian, sama seperti saya yang berkongsi nombor telefon apabila jumlah tontonan video lirik Peluang Kedua mencecah satu juta tontonan di YouTube.

“Itu janji saya kepada peminat di laman sosial jika lagu itu berjaya mencapai sasaran satu juta tontonan pada hari kedua dilancarkan. Sejujurnya, saya tidak tahu-menahu ada artis lain turut melakukan tindakan sama hingga ada netizen yang maklumkannya di laman sosial. Bagi saya, masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk tujuan promosi.

“Lagipun ramai yang tahu saya dan pihak pengurusan sentiasa mencari idea kreatif untuk mempromosikan setiap lagu baharu dilancarkan. Saya tak rasa apa yang dibuat ini satu kesalahan atau meniru sesiapa. Memandangkan kita semua dalam tempoh PKP, saya kira ini adalah idea efektif untuk mempromosikan lagu baharu kepada peminat. Saya juga tidak boleh keluar untuk aktiviti promosi di radio atau televisyen. Jadi ini salah satu cara terbaik untuk mendekatkan diri dengan peminat,” katanya.

Luang lebih banyak masa dengan keluarga

Bakal menyambut Ramadan, Nabila bersyukur apabila tahun ini dia dapat meluangkan lebih masa dengan keluarganya.

“Jika sebelum ini, tidak banyak masa dengan keluarga kerana banyak mendapat undangan ketika Ramadan, tapi saya anggap musibah yang berlaku ini ada hikmahnya. Bagi saya, ini masa paling sesuai untuk saya meluangkan waktu bersama keluarga menyambut Ramadan.

“Saya juga ingin berpesan supaya kita semua berjimat cermat dan sentiasa duduk di rumah sepanjang PKP ini. Insya-Allah kita akan menang jika semua rakyat mendengar kata,” katanya.