Mengamuk ditegur

SEORANG lelaki mengamuk dan menengking polis kerana ditegur tidak mengamalkan penjarakan sosial di dalam kenderaan.

Dia sebelum itu ditahan pihak berkuasa yang melakukan rondaan di sini pada Ahad kerana membiarkan seorang wanita dibawa duduk di tempat duduk penumpang hadapan.

Mengikut peraturan penjarakan sosial yang dikuatkuasakan Indonesia, penumpang perlu duduk di tempat duduk belakang dengan hanya separuh daripada kapasiti dibenarkan.

Polis kemudian meminta wanita terbabit menukar tempat duduknya di belakang untuk penjarakan sosial.

Namun, arahan itu disambut dengan tengkingan lelaki berkenaan yang tidak berpuas hati dan mendakwa wanita berkenaan adalah isterinya.

Kejadian itu menjadi perhatian warganet yang terkejut dengan tindakan lelaki berkenaan kerana tidak mengendahkan arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

“Saya tidak mahu memindahkan isteri saya kerana di rumah tidur berdua tidak apa-apa, jadi kenapa perlu duduk berasingan di dalam kenderaan,” kata lelaki itu.

Dalam pada itu, Ketua Trafik Kota Bogor, Dody Wahyudin mengesahkan kejadian itu dan berkata, lelaki terbabit diminta untuk pulang kerana tidak mahu keadaan menjadi semakin panas.

“Sudah ditegur dan notis bertulis, namun makin marah. Jadi kami minta dia pulang (ke rumah saja),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19