‘Mentari akan muncul selepas hujan’ – PM [METROTV]

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sedar kehidupan rakyat Malaysia terbeban akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana terhalang daripada perkara kebiasaan.

“Saya tahu setelah tiga minggu saudara-saudari berkurung di rumah, mungkin ada di kalangan saudara-saudari yang berasa agak terbeban dengan dugaan dan ujian Tuhan ini.

“Selama tiga minggu ini, kita terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang biasa kita buat. Kita tinggalkan hobi kita, kita tinggalkan pekerjaan kita, kita rindu kepada kawan-kawan dan keluarga yang berjauhan. Pendek kata, kehidupan kita amat berbeza, dan kadang-kadang berasa sedikit terbeban,” katanya ketika mengumumkan langkah tambahan bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, rakyat Malaysia tetap mempunyai cara tersendiri untuk menghilangkan bosan.

“Saya lihat di media sosial, ada suami yang mula memakai baju kelawar isteri. Ada yang mengayuh basikal dalam rumah. Ada juga yang mengubah ucapan saya menjadi lagu.

“Saya harap ini bukanlah kejadian pelik, atau buang tabiat kata orang. Ini adalah sebahagian daripada kreativiti anda semua untuk menghilangkan rasa bosan duduk di rumah.

“Yang penting saya fikir saudara-saudari mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi dugaan dan ujian,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan bahawa Tuhan tidaklah menguji atau membebani hambaNya dengan sesuatu yang tidak boleh ditanggung.

“Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 286: Yang bermaksud: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

“Saya yakin dugaan yang dibawa oleh wabak Covid-19 ini bukanlah sesuatu yang tidak dapat tanggung oleh kita semua. Teruslah cekal, kuat dan bersemangat. Yakinlah, kita akan dapat atasi dugaan ini bersama-sama,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru rakyat Malaysia supaya mematuhi peraturan sepanjang PKP dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19.

“Ia sukar, tetapi tidak mustahil. Ini adalah pengorbanan yang perlu kita lakukan untuk memenangi peperangan ini. Memenangi peperangan ini bermula di rumah kita dan dengan keluarga kita.

“Kita boleh menghentikan penyebaran virus ini dengan tinggal di rumah dan mengekalkan jarak fizikal. Tetap kuat, kekal sihat, Insya-Allah kita akan berjaya. Ingat, selepas hujan, datang matahari. Dan hari-hari yang lebih baik akan muncul,” katanya.

Muhyiddin turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas di barisan hadapan yang terus menjalankan amanah dengan penuh dedikasi.

“Terima kasih semua doktor, jururawat, anggota polis, anggota tentera, imigresen, Rela, bomba,

kakitangan JKM, sukarelawan NGO dan semua yang terbabit di barisan hadapan. Terima kasih juga kepada anda sekalian yang sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Teruslah sabar, tenang dan istiqamah. Insya-Allah, kita akan bangkit semula,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan