Merdeka norma baharu tetap meriah

SAMBUTAN Hari Kebangsaan 2020 semalam yang diadakan dengan amalan norma baharu susulan pandemik Covid-19 tetap dianggap meriah dan penuh simbolik.

Biarpun tiada perarakan atau perbarisan oleh badan beruniform serta agensi kerajaan seperti kebiasaannya namun acara tahunan itu tetap boleh diikuti oleh rakyat Malaysia di seluruh negara melalui televisyen dan media sosial.

Langkah penuh berhati-hati ini bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sekali gus menghalang penyebaran virus itu.

Kelainan ditampilkan penganjur membabitkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) itu termasuk siaran khas menggunakan Mixed Reality oleh pelbagai agensi secara rakaman awal dari tujuh lokasi berbeza.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berangkat pulang selepas menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan 2020. FOTO BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berangkat pulang selepas menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan 2020. FOTO BERNAMA

Lokasi berkenaan adalah membabitkan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Tentera Darat Malaysia di Port Dickson dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang.

Manakala upacara menaikkan Jalur Gemilang disertai kontinjen berkuda Perbadanan Putrajaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan PDRM dilakukan di Dataran Putra di Putrajaya, Persembahan Orkestra di Dataran Merdeka Kuala Lumpur dan Bacaan Ikrar di Tugu Negara.

Selain itu acara semalam turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli menyampaikan Titah Diraja sempena Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara dan Hari Kebangsaan 2020.

Pada 31 Ogos 1970, Yang di-Pertuan Agong Keempat Al-Marhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin menyampaikan Titah Diraja sempena pemasyhuran Rukun Negara pada 31 Ogos 1970.

BARISAN menteri mengamalkan penjarakan sosial ketika duduk dan pemakaian pelitup separuh muka.
BARISAN menteri mengamalkan penjarakan sosial ketika duduk dan pemakaian pelitup separuh muka.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan