Merebak angkara rentas negeri

MALAYSIA merekodkan 33 kluster jangkitan Covid-19 di seluruh negara setakat, semalam.

Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan Kluster Pengerang, Johor sudah menjangkiti 15 individu terdiri daripada ahli keluarga dan rakan sekerjanya akibat tindakannya merentas beberapa negeri untuk mengunjungi sanak-saudara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks iaitu kes ke-1508 Kluster Pengerang itu mula mengalami gejala pada 12 Mac lalu.

“Beliau dirawat di sebuah klinik swasta pada 16 Mac dan disyaki sebagai menghidap demam denggi. Keesokannya, beliau merentas beberapa negeri untuk mengunjungi sanak saudara di sekitar Selangor sebelum pulang ke Pengerang pada 18 Mac lalu.

“Keadaan kesihatan beliau mula merosot dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 20 Mac dalam keadaan yang kritikal sebelum disahkan positif jangkitan Covid-19 pada 22 Mac,” katanya pada sidang media di Putrajaya, semalam.

Menurutnya, setakat 22 April lalu, kluster itu sudah menjangkiti 15 individu terdiri daripada 10 rakan sekerja dan lima ahli keluarga kes indeks, termasuk ibunya berusia 79 tahun serta anak perempuan berusia 10 tahun.

DR NOOR HISHAM ABDULLAH
DR NOOR HISHAM ABDULLAH

“Sebanyak tujuh kes daripada kluster ini masih di dalam rawatan manakala lapan lagi pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj. Secara keseluruhan, tiga kes di dalam kluster ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Jangkitan dalam kalangan ahli keluarga yang menetap di negeri lain adalah dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjung yang berlaku sehari sebelum pelaksanaan PKP,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, satu kematian dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat jam 12 tengah hari semalam menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 93 kes.

Katanya, 50 kes baharu jangkitan direkodkan semalam menjadikan 5,532 kes keseluruhan dalam negara setakat ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 43 pesakit dirawat di ICU, 25 menggunakan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 103 orang sembuh menjadikan 3,452 pesakit sembuh dan discaj hospital dengan kadar kesembuhan 62.4 peratus.

“Kes aktif (positif Covid-19) kebolehjangkitan seramai 1,987 pesakit, mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas mengenai kes kematian ke-93 itu, Dr Noor Hisham berkata, ia membabitkan kes ke-5483 iaitu merupakan perempuan warga Malaysia berusia 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah dan darah tinggi.

“Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 April dan disahkan meninggal dunia pada 22 April jam 9.15 pagi,” katanya.