Mereka wajar dipuji – KPD Cheras

“SAYA sendiri terkejut dimaklumkan pihak hotel mengenai lukisan berkenaan, tidak sangka pula dia hafal semua yang saya katakan dalam rakaman suara itu dan terjemahkan dalam bentuk lukisan.”

Demikian kata Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon ketika menceritakan mengenai lukisan diterima beliau daripada seorang individu di pusat kuarantin di Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Mokhsein, susulan kepulangan sekumpulan rakyat Malaysia dari luar negara dua minggu lalu, sebahagiannya menjalani tempoh kuarantin di dua hotel di kawasan seliaan beliau.

Bagi memastikan peringatan sentiasa diberikan kepada semua individu yang menjalani kuarantin itu, beliau berkata, pihaknya meletakkan papan tanda peringatan di sekitar hotel yang meminta kerjasama semua penghuni supaya mematuhi arahan atau tindakan tegas akan diambil.

Katanya, kaedah itu dilihat kurang berkesan jika individu terbabit tidak pun membaca biarpun diletakkan di hadapan mereka.

“Untuk berada di hotel sepanjang masa bagi memberi peringatan secara berdepan tentulah mustahil jadi saya fikir untuk hasilkan rakaman suara yang mana saya sendiri beri peringatan itu untuk dimainkan pihak hotel beberapa kali sehari.

“Saya rakam suara sendiri dalam dua bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan ia dimainkan sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, tengah hari dan malam.

“Dalam rakaman itu, saya minta mereka yang menjalani kuarantin di hotel supaya kekal berada di dalam bilik masing-masing dan tidak dibenarkan keluar kecuali hal kecemasan,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

ANTARA lukisan yang ‘dihadiahkan’ kepada Mohamed Mokhsein. FOTO ihsan pihak hotel
ANTARA lukisan yang ‘dihadiahkan’ kepada Mohamed Mokhsein. FOTO ihsan pihak hotel

Beliau berkata, beberapa hari lalu beliau menerima panggilan daripada pihak hotel memaklumkan ada penghuni pusat kuarantin itu ingin menghadiahkan sesuatu buatnya.

Atas kesibukan tugas, Mokhsein berkata, beliau hanya berkesempatan datang ke hotel berkenaan selepas mesyuarat pagi hari ini, iaitu pada hari terakhir individu yang ingin menyerahkan lukisan itu menjalani tempoh kuarantin.

“Sebaik saya nampak individu terbabit, saya terus beritahu dia bahawa sayalah pemilik suara dalam rakaman yang dia dengar setiap hari.

“Dengar saja saya cakap macam itu, dia seakan nak peluk saya namun tentulah ia tak berlaku kerana penjarakan sosial. Dia ucapkan terima kasih sebab jaga dan layan mereka semua dengan baik di situ,” katanya.

Mokhsein berkata, pengalaman menguruskan lebih 200 individu yang dikuarantin di hotel selepas dibawa pulang dari luar negara, beliau menyifatkan tidak semuanya bersifat ‘kayangan’.

Sebaliknya, kata beliau, semua individu yang diuruskannya sangat beretika dan wajar dipuji kerana bukan saja patuh pada arahan malah tidak menunjukkan sebarang tanda protes.

“Individu yang hasilkan lukisan untuk saya itu adalah penuntut Malaysia yang pulang dari London. Selain dia, ramai lagi yang turut berikan mesej penghargaan membuatkan saya sangat terharu.

“Sebab itu, saya bingkaikan lukisannya. Saya rasa sangat dihargai dan mungkin ini saat yang akan berlaku sekali dalam seumur hidup saya,” katanya.

Mokhsein melakukan perkongsian di laman Facebook peribadinya sebelum dikongsi beberapa pihak termasuk group di Facebook sebelum tular di media sosial.

LUKISAN menarik yang diberikan kepada Mohamed Mokhsein. FOTO ihsan pihak hotel
LUKISAN menarik yang diberikan kepada Mohamed Mokhsein. FOTO ihsan pihak hotel

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan