Messi setuju dibayar RM1.89 juta sehari

LIONEL Messi dilaporkan bersetuju dengan pembayaran sebanyak £623 juta (RM3.46 bilion) untuk menyertai Manchester City.

Pemain berusia 33 tahun itu dalam misi untuk meninggalkan Barcelona selepas meminta permohonan perpindahan.

Menurut laporan Record Sport, Messi bersetuju dengan syarat pembayaran berkenaan dengan kontrak selama lima tahun.

Tawaran luar biasa itu bakal membuatkan pemain Argentina itu akan menjadi individu menerima bayaran paling tinggi dalam sejarah sukan.

Ia bersamaan £14,200 (RM78,776) sejam, £341,000 (RM1.89 juta) sehari dan £10.4 juta (RM56.72 juta) sebulan.

Messi bersedia untuk menghabiskan tiga musim di Etihad sebelum menyertai New York City selama dua tahun.

Messi turut ditawarkan pegangan saham dalam City Football Group (CFG) sebagai sebahagian daripada pakej perpindahan itu.

Pemenang enam kali Anugerah Ballon d’Or itu dilihat sudah tidak sehaluan dengan Barcelona sejak dia meminta untuk meninggalkan pasukan secara percuma.

Pengurus baru Barcelona, Ronald Koeman sudah memutuskan jika Messi tidak mahu lagi kekal bersama gergasi Sepanyol itu dia disarankan untuk meninggalkan kelab secepat mungkin.