Minta bil elektrik, air elak tipu tempat tinggal

TINDAKAN polis meminta bil elektrik atau bil air adalah untuk menyemak alamat tempat tinggal bagi mengelak orang ramai menipu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tiada undang-undang khusus namun terpulang budi bicara pegawai dan anggota polis bertugas.

Menurutnya, polis tidak menggunakan Mykad kerana kebanyakan orang ramai tidak menukar alamat tempat tinggal mereka dan lebih mudah menggunakan bil elektrik atau bil air.

“Kita tidak mahu mereka menipu ketika diperiksa jadi jika ada bil elektrik itu polis akan tahu mereka tinggal di mana.

“Contoh jika tinggal di Gombak kenapa perlu membeli barang di Kuala Lumpur dan sebab itu kita galakkan mereka bawa bil elektrik atau bil air ini supaya membantu polis ketika pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata, tindakan sebahagian pegawai dan anggotanya meminta menunjukkan bil air dan elektrik hanya pada situasi mencurigakan semasa pemeriksaan dan sekatan jalan raya PKP di daerah Petaling Jaya.

“Arahan kepada pengguna jalan raya untuk menunjukkan bil air dan elektrik bukanlah satu benda diwajibkan ke atas semua individu sebaliknya terhadap mereka yang gagal membuktikan diri mereka menetap di dalam daerah Petaling Jaya.

“Sebagai contoh, ada individu yang sebelum ini diperiksa dalam sekatan jalan raya mendakwa tinggal di Damansara Perdana, namun apabila diminta menunjukkan kad pengenalan menunjukkan alamat tertera adalah di Kajang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, helah individu terbabit terbongkar selepas dia gagal menunjukkan bil air dan elektrik kediaman di Kota Damansara sebelum mengaku tujuannya untuk membeli buah.

“Justeru sekali lagi saya tegaskan bahawa arahan menunjukkan bil air dan elektrik ini bukannya satu kemestian tetapi hanya terhadap segelintir pihak disyaki cuba melanggar arahan PKP,” katanya.

Terdahulu sebuah portal berita menyiarkan laporan seorang anggota polis meminta pengguna jalan raya menunjukkan bil elektrik dan bil air bagi membuktikan alamat kediamannya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan