Misi bikin gembira Hattan

Kuala Lumpur: Rumah bertukar jadi gudang barangan dan sakit belakang akibat mengangkut beras untuk diagihkan kepada penerima.

Itu pengalaman penyanyi Datuk Hattan, 56, yang bertanggungjawab menyelaras bantuan makanan kepada rakan penggiat seni, orang ramai serta rakan media yang kehilangan pekerjaan akibat penularan Covid-19 sejak awal tahun ini.

Penyanyi yang popular dengan lagu Memburu Rindu dan Dari Kekasih Kepada Kekasih ini juga tidak kisah menghantar sendiri bantuan ke Rawang, Semenyih termasuk ke tempat kelahirannya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Hattan mengakui penularan wabak Covid-19 sepanjang tahun 2020 ini membawa kesan sangat teruk kepada banyak pihak.

“Idea bermula semasa saya berjumpa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang meminta tolong menjayakan kempen #kitamestimenang. Saya setuju, tapi minta dia bantu artis yang sedang susah. Beliau bersetuju untuk bantu dan menyumbang barang-barangan serta wang tunai.

“Selain itu saya, Datuk Nash dan Datuk Malek Ridzuan juga dapat barangan keperluan daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk diagihkan kepada rakyat yang terkesan. Saya hantar sendiri kerana nak pastikan bantuan sampai kepada penerima yang berhak,” katanya.

Hattan berkata, dia yang memulakan misinya dua hari sebelum Ramadan lalu terperanjat apabila melihat keadaan artis yang susah.

KETIKA mengagihkan sumbangan kepada penyanyi, Shima (dua dari kiri).
KETIKA mengagihkan sumbangan kepada penyanyi, Shima (dua dari kiri).

“Saya buat dari awal hingga pertengahan Ramadan. Memang mencabar kerana ada ketika cuaca panas dan ada ketikanya hujan. Namun, saya reda dan fikir buat kerana Allah SWT.

“Rasa puas hati apabila lihat semua penerima gembira. Walaupun bantuan tak seberapa, tapi mereka tetap bersyukur dengan apa yang dapat. Saya memang tak kisah pusing semua kawasan termasuklah balik Kuala Pilah untuk agihkan bantuan,” katanya.

Hattan mengakui dia hampir mengalah apabila terpaksa mengangkat beratus-ratus bungkusan beras namun dia tetap gagahkan diri atas nama kebajikan.

“Ini pengalaman yang paling saya ingat. Kita pun tak sangka Covid-19 akan datang dan begini penangannya. Cuma sekarang pun dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih ramai yang dibelenggu kesusahan.

Artis pun sangat terkesan. Mula-mula mungkin mereka boleh bertahan, tapi sekarang memang sukar.

“Sekiranya ada mana-mana lagi pihak yang nak bantu, silalah berbuat demikian kerana rasanya Covid-19 takkan berakhir sehingga tahun depan. Ramadan pun nak kembali semula,” katanya.