Misi Conan berdarah Asia

KIAN menempa nama dalam industri muzik global, pendatang baharu Conan Gray diakui antara bintang bakal bersinar.

Karyanya menerusi album Kid Krow yang dilancarkan tahun ini serta-merta jadi bualan disebabkan kualitinya.

Berdarah Amerika-Jepun, penyanyi berusia 22 tahun itu juga memiliki misi tersendiri dalam melebarkan sayapnya terutama di pasaran Amerika Syarikat (AS).

Walaupun dia seorang rakyat AS, Conan turut berdepan cabaran besar di sana hanya disebabkan memiliki darah Asia.

Dia memiliki tugas besar untuk membuktikan bahawa dia layak mendapat tempat di sana dan berazam menjadi wakil untuk memartabatkan anak seni Asia di AS.

“Perwakilan artis Asia dalam industri muzik di AS sangat kecil. Malah, ia hampir tidak wujud. Jadi, seboleh-bolehnya saya mahu menjadi wakil darah campuran Asia kerana saya sendiri tidak ada sesiapa untuk dirujuk ketika kecil dulu.

“Secara umumnya, menjadi penyanyi berdarah campuran memang sangat mencabar apabila membesar di negara yang didominasi orang kulit putih. Saya akui berdepan kekeliruan dalam tempoh yang agak lama di mana saya tidak pasti jika berada di tempat betul atau tidak,” katanya.

Menurut Conan, walaupun ada kacukan kulit putih, kanak-kanak kulit putih lain tidak menerimanya sebagai sebahagian daripada mereka.

Jadi, sukar buatnya apabila membesar tanpa memahami di mana kedudukan yang sebenar buat dirinya.

“Itulah juga satu faktor yang menyebabkan saya menjadi penyanyi dan penulis lagu. Saya memang sangat pemalu sebelum ini selepas merasa diri seperti orang luar di AS. Keseluruhan waktu kecil saya banyak dihabiskan dengan memerhati ragam manusia, kelompok tertentu tanpa mengikut mereka.

“Dari situlah mencetuskan idea untuk saya menulis lagu. Kalau bukan disebabkan rencana kehidupan yang tertulis buat diri saya itu, saya tidak tahu jika boleh menulis lagu atau tidak. Muziklah yang menguatkan saya untuk menghadapi segala diskriminasi dan kebiadapan orang di sekolah dulu.

DIKENALI dengan karyanya yang sangat jujur.
DIKENALI dengan karyanya yang sangat jujur.

“Oleh itu, saya sangat berharap muzik yang saya hasilkan serta berada dalam industri muzik AS akan membuka pintu kepada ramai lagi artis Asia lain. Ini disebabkan memang tidak ramai pun di sini,” katanya.

Mula menulis lagu seawal usia 12 tahun, kreativiti Conan banyak tercetus daripada kehidupan seharian. Berkongsi mengenai pembabitan awalnya menulis lagu, cetusan rasa terhadap setiap peristiwa dijadikannya inspirasi dalam muziknya.

“Saya masih ingat lagu-lagu yang ditulis awal dulu banyak menyentuh mengenai ibu bapa saya, seperti marahkan mereka atau lain-lain. Secara ringkas, saya suka menulis mengenai sesuatu yang berlaku dalam kehidupan seharian walaupun perkara kecil.

“Saya memang sudah serius menulis pada usia 12 tahun apabila banyak hal saya lalui termasuklah kehilangan rakan akibat berpindah. Saya rasa kesungguhan itu benar-benar hadir sangat awal dalam diri,” katanya.

Bagaimanapun, corak penulisan lagunya berubah mengikut peralihan usia. Mengakui karyanya kini lebih banyak lahir daripada perasaan peribadi, namun Conan masih belum bersedia menulis mengenai lagu cinta.

“Secara umum, saya menulis daripada sudut emosi yang sangat kuat. Hidup saya banyak berubah dan saya jadikan hal yang paling memberi kesan kepada lagu. Bagaimanapun, saya belum pernah jatuh cinta setakat ini, jadi belum teringin menulis mengenainya.

“Soal cinta memang mengagumkan namun kebanyakan lagu ditulis mengenai jatuh cinta pertama kali biasanya berkisar kesedihan dan kesakitan. Sekarang saya cuba menulis setakat apa yang saya lalui sendiri sebagai cara untuk keluar daripada sistem,” katanya.

Kekuatan sebenar Conan tidak dinafikan terletak pada kejujuran karyanya menyentuh mengenai pelbagai kebenaran atau permasalahan. Bahkan, rata-rata pendengar mengakui hal itulah yang membuatkan mereka jatuh cinta terhadap muziknya.

“Apabila terlalu jujur menerusi muzik boleh membawa masalah kepada saya kerana kadang-kadang terlebih cakap namun orang patut tahu mengenai sesuatu kebenaran. Apabila menulis lagu, saya cuma mahu menjadi jujur sebaik mungkin disebabkan orang boleh memahami permasalahan yang berlaku dalam kehidupan sebenar. Saya tidak kisah sekiranya ia menampakkan saya pelik asalkan apa yang saya

cuba sampaikan adalah benar,” katanya.

Dalam pada itu, Conan juga mengakui sangat kagum dan tabik kemegahan muzik K-Pop sekarang. Menurutnya, dia kini menyimpan hasrat suatu hari nanti dapat bekerjasama dengan kumpulan terkenal BLACKPINK.

“Apabila bercerita mengenai artis K-Pop, saya sangat teruja mengenai BLACKPINK. Saya banyak menonton kompilasi video mereka, tarian, persembahan dan BLACKPINK sememangnya sangat sempurna di mata saya. Saya teringin sangat membikin muzik bersama mereka,” katanya.