Monyet heret kanak-kanak semasa pertunjukan

Kanak-kanak diheret beberapa meter oleh seekor monyet semasa pertunjukkan ‘topeng monyet’.

SURABAYA: Seekor monyet membuat pertunjukan seni terkenal di Indonesia dipanggil 'topeng monyet' bertindak liar apabila mengheret seorang kanak-kanak beberapa meter di Tanjung Sari, Sukomanunggal, Surabaya Barat, Indonesia.

Menerusi Tribun News, aksi monyet menunggang motosikal mini sambil diikat pada tali di lehernya diarahkan meniru tingkah laku manusia tular di Facebook Anggriawan Kurnia Panca Putra.

"Kanak-kanak perempuan itu sedang duduk bersama rakan-rakannya sebelum didatangi monyet yang menunggang motosikal menarik tangan, mengheretnya beberapa meter sebelum dihalang seorang lelaki.

"Kanak-kanak itu dipercayai mengalami trauma dan menangis selepas kejadian tersebut. Difahamkan juga, pertunjukan seni itu tidak dibenarkan memasuki kampung itu," katanya.

Perkongsian video berdurasi 27 saat menimbulkan kebimbangan dalam kalangan netizen kerana aktiviti seni itu telah diharamkan oleh Indonesia atas sebab unsur-unsur penganiayaan terhadap haiwan.

"Bagaimana boleh anjurkan pertunjukan 'topeng monyet' di sini. Sudah diharamkan," kata LiangSi.

Carenina Widyawati pula berharap netizen bersabar kerana kejadian itu berlaku di luar jangkaan pihak penganjur.

"Sabar, mereka hanya cari duit, selesaikan dengan cara baik, semoga anak itu cepat sembuh daripada luka dan trauma. Jangan melihat satu sudut pandang sahaja.

"Semoga kedua-dua pihak menyelesaikan dengan cara baik," tulisnya. – Agensi