Moratorium pinjaman: Menteri saran lupus faedah terakru, keuntungan

MENTERI Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, hari ini menyarankan agar semua institusi kewangan khususnya yang terbabit dalam moratorium untuk mempertimbang bagi melupuskan kadar faedah terakru (bagi pinjaman sewa beli) atau keuntungan (bagi pembiayaan Islam berkadar tetap) sepanjang tempoh enam bulan skim berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Kewangan sedia untuk bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan sektor perbankan bagi memastikan pelaksanaan saranan itu.

Kenyataan beliau itu dibuat berikutan timbulnya kekeliruan umum mengenai kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan berkaitan skim moratorium atau penangguhan bayaran balik pinjaman sewa beli yang ditawarkan oleh institusi kewangan.

“Antara punca kekeliruan ini disebabkan pelbagai sumber yang membawa maklumat kurang tepat,” katanya menerusi catatan terbaharunya di laman Facebook beliau, hari ini.

Susulan itu, pihak BNM pada 1 Mei, 2020 menerusi laman sesawangnya telah menyiarkan kenyataan ‘Soalan Lazim (FAQs) Mengenai Pengendalian Moratorium bagi Pinjaman Sewa Beli dan Pembiayaan Islam Berkadar Tetap’ yang dikemaskini.

Tengku Zafrul menjelaskan di bawah Akta Bank Negara 2009, isu mengenai moratorium berada di bawah bidang kuasa BNM dan bank pusat itu juga mengadakan sidang media untuk menjelaskan kekeliruan yang dihadapi peminjam.

“Sejak kebelakangan ini, media massa dan netizen banyak menimbulkan persoalan mengenai isu ini. Untuk makluman, memang terdapat bank yang menawarkan moratorium pinjaman tanpa mengenakan faedah terakru atau faedah dikompaun atas pinjaman.

“Namun ia tidaklah merangkumi semua produk pinjaman… setiap bank pula ambil pendekatan tersendiri dalam hal mengenakan faedah sewaktu tempoh moratorium,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Kementerian Kewangan telah memulakan langkah proaktif mencari penyelesaian kemelut ini melalui perbincangan bersama BNM dan bank-bank untuk membuat keputusan yang tepat mengikut keperluan rakyat.

Malah, tegas beliau, kerajaan sentiasa peka terhadap cetusan hati nurani rakyat, terutamanya golongan B40 dan M40 serta mengambil berat mengenai perkara itu.

“Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar disebabkan oleh wabak Covid-19, saya amat berharap pandangan (mengenai saranan) ini dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh BNM dan juga institusi-institusi kewangan dalam negara.

“Saya yakin langkah ini akan dapat memberi impak positif kepada rakyat kita,” katanya.