Mula ikut jadual

Kuala Lumpur: Masa semakin suntuk dengan pasukan lain sudah melakukan persiapan lebih awal menyebabkan skuad Harimau Malaya akan mulakan sesi latihan pada pertengahan Januari depan.

Pengurus pasukan kebangsaan Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, perkara terbabit akan dimaklumkan kepada semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) bagi mendapatkan pelepasan kepada pemain berkenaan.

Beliau berkata, walaupun ada beberapa pihak melihat skuad Harimau Malaya agak lewat untuk mulakan sesi latihan namun situasi terbabit tidak dapat dielakkan berikutan pandemik Covid-19.

Katanya, latihan intensif berkenaan turut akan merangka strategi berkesan dalam persiapan untuk menghadapi Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam nanti.

“Kita akan mulakan sesi latihan mengikut jadual iaitu pada pertengahan Januari sekali gus berharap barisan pemain lebih bersedia untuk perlawanan akan datang.

“Ketika ini, kita sedia maklum beberapa pasukan seperti UAE dan Vietnam sedang giat melakukan persediaan rapi sejak November lalu untuk menentang Malaysia.

“Namun, kita tidak boleh mudah putus asa atau goyah dengan situasi berkenaan dan perlu manfaat masa yang ada untuk merangka strategi lebih berkesan untuk menghadapi mereka,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, perlawanan antarabangsa pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia China 2023 ditunda ke tahun depan.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan sebelum ini berkata ia sebagai langkah pencegahan Covid-19 yang menular di seluruh dunia.

Perlawanan kelayakan Piala Dunia Fifa Qatar 2022 dan Piala Asia AFC China 2023, yang pada awalnya berlangsung ketika jadual antarabangsa pada Oktober dan November 2020, ditunda ke 2021.

Mengikut rekod, Harimau Malaya sepatutnya mengharungi aksi timbal balik pusingan kedua, Kumpulan G dengan bertandang ke UAE pada 8 Oktober lalu sebelum berdepan Vietnam, lima hari kemudian disusuli aksi bertemu Thailand (17 November).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19