Mula panik, kini syukur

AWAN hitam pekat. Rembes hujan membasahi kawasan sekitar blok pangsapuri di Taman Sri Murni di sini. Jam ketika itu menunjukkan angka 7.30 malam.

Beberapa anggota polis dan tentera kelihatan kuyup kebasahan. Namun mereka tidak berganjak. Tegap berkawal di dua pos pemeriksaan menuju ke pangsapuri itu.

Arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu dilaksanakan tanpa kompromi. Tiada sesiapa dibenarkan keluar masuk sesuka hati melepasi halangan kawat berduri.

Ketika itu penulis melihat sekitar 20 penduduk berbaris panjang di bawah pangsapuri. Rata-rata mereka tidak memakai payung dan hanya menggumam.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkawal acap kali meminta penduduk terbabit menjarakkan kedudukan sekurang-kurangnya satu meter bagi memastikan virus Covid-19 tidak berpindah tuan.

Ramai yang akur, namun ada juga yang ‘tidak faham bahasa’ terutama membabitkan penghuni warga Myanmar.

Semua mereka adalah sebahagian penduduk blok 28 dan 30 pangsapuri Sri Murni yang mahu mengambil bungkusan makanan makan malam.

Bekalan kecemasan itu diagihkan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan APM di khemah khas dibina berhampiran parkir pangsapuri itu.

“Tinggal tingkat berapa? Berapa penghuni atau ahli keluarga ?” aju petugas JKM yang menguruskan agihan serta mencatat maklumat.

Jawapan segera diberikan seraya penduduk terbabit menyambut bungkusan makanan diagihkan untuk keluarganya.

KEADAAN kawasan rumah kedai sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur yang dikenakan PKPD.
KEADAAN kawasan rumah kedai sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur yang dikenakan PKPD.

Dia kemudian melangkah pantas menuju ke lobi lif yang dipenuhi penghuni lain. Mereka turut sabar menunggu giliran untuk mengambil makanan sambil dipantau anggota ATM.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Covid-19 Taman Sri Murni 1 dan 2, Tariq Asyraf Shah Abdullah memaklumkan, arahan PKPD di kawasan itu membuatkan penduduk panik pada peringkat awal.

“Mereka tidak bersedia dan bimbang terperangkap di rumah tanpa makanan. Namun syukur pihak JKM dan APM segera mengagihkan makanan sehari selepas PKPD diumumkan.

“Malah tong gas turut diagihkan kepada penduduk yang kehabisan bahan api itu di rumah.

“Kini bekalan makanan disalurkan setiap hari kepada penduduk. Ada antaranya disumbangkan kerajaan dan NGO,” katanya.

Menurutnya, kesabaran dan layanan anggota JKM dan APM dianggap first class hingga membuatkan penduduk lega berdepan tempoh PKPD.

“Mungkin selepas ini penduduk tidak perlu berbaris dan bekalan makanan dihantar terus ke pintu rumah,” katanya.

Sementara itu tinjauan penulis ke kawasan rumah kedai empat tingkat sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur yang dikenakan PKPD mendapati majoriti penghuni rakyat Rohingya akur dengan arahan itu.

Rata-rata penghuni di situ ‘berkurung’ di dalam rumah menjadikan suasana di situ sunyi dan sepi.

Kehadiran anggota polis dan tentera yang meronda di kawasan itu menyebabkan mereka tidak berani berkeliaran sesuka hati.

SEORANG penghuni sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur hanya merenung dari tingkap kediamannya.
SEORANG penghuni sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur hanya merenung dari tingkap kediamannya.

Jejak tetap jejak

Dikesan muncul ketika saringan kesihatan Covid-19 kali pertama. Namun anehnya ada antara mereka didapati ‘ghaib’ ketika saringan kali kedua dilakukan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kelmarin.

Yang pasti 3,200 penghuni Menara Plaza City One di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak mungkin dapat meloloskan diri susulan kawalan ketat 24 jam anggota polis dan tentera sejak 30 Mac lalu.

Selain dipasang kawat berduri di sekeliling menara menempatkan 500 unit kondominium itu, penghuninya turut tidak dibenarkan berkeliaran dan diarah berada di dalam kediaman di Jalan Munshi Abdullah, di sini.

Sumber berkata, saringan dilakukan oleh sekumpulan kakitangan Jabatan Kesihatan dan pegawai Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) Wilayah Persekutuan, Pengurusan Farmasi, Amalan dan Pengembangan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, petugas barisan hadapan membabitkan kakitangan KKM disifatkan cekap dan efisien apabila proses saringan kesihatan dilakukan cukup sistematik.

“Mereka membuka lima kaunter berasingan dengan fungsi dan peranan berbeza ketika proses saringan dilakukan bermula 1 Mac lalu.

“Kaunter pertama berfungsi mendaftar nama penghuni berdasarkan Mykad atau pasport dimiliki mereka. Penghuni kemudian akan diarah ke kaunter dua untuk mengisi borang makmal selain pemeriksaan suhu selain sebarang simptom dialami,” katanya.

Menurutnya, penghuni kemudian berpindah ke kaunter ketiga sebelum sampel diambil melalui pengambilan swab (hidung) atau oral kerongkong.

“Di kaunter 4 pula, sampel itu akan dilabel dan dibungkus menggunakan dua lapisan plastik bagi memastikan ia tidak rosak.

“Bungkusan sampel itu kemudian diserahkan kepada petugas di kaunter lima yang akan melakui pemeriksaan akhir bagi mengelak sampel itu ditolak sebelum ia dihantar ke makmal untuk ujian pengesahan,” katanya.

Menurutnya, ketika saringan kali kedua dilakukan itu, pihaknya mendapati puluhan penghuni yang pernah menjalani saringan kali pertama gagal ditemui.

“Kebanyakan mereka ini membabitkan warga India dan Bangladesh yang menghuni beramai-ramai di unit kondominium ini selain berdepan masalah komunikasi dengan kakitangan barisan hadapan yang bertugas.

“Usaha mengesan mereka yang ‘hilang’ ini terpaksa dilakukan dari pintu ke pintu kediaman selepas telefon bimbit mereka turut gagal dihubungi.

“Disebabkan bilangan mereka yang ramai, ada kemungkinan mereka menumpang di rumah rakan atau memberi alamat unit yang salah,” katanya.

Menurutnya, menjadi cabaran kepada kakitangan barisan hadapan untuk menjejaki mereka dari unit ke unit kediaman bagi memastikan semua penghuni Menara One City menjalani pemeriksaan saringan kali kedua.

“Langkah ini perlu bagi memastikan ‘golongan’ terbabit tidak menjadi penyebar kluster baharu Covid-19,” katanya.