Murid daif tukar pelitup muka selepas tiga hari guna

KEADAAN pelitup muka murid yang kotor, berjahit dan dipakai berulang kali meruntun hati guru pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Gas Sandakan, Sabah, Muhamad Fazri Hassan hingga mendorongnya berkongsi kisah berkenaan di Twitter miliknya, semalam.

Menceritakan perkongsiannya itu semula, Muhamad Fazri, 27, mengakui tidak tahu masalah dihadapi muridnya sehingga mengadakan perbincangan di dalam bilik darjah mengenai kewajipan memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak.

“Baru-baru ini iaitu sewaktu mengajar, saya ambil kesempatan untuk bertanya dengan murid mengenai kebersihan dan kekerapan mereka menukar pelitup mula.

“Apa yang menyedihkan apabila ada di antara mereka memberitahu menukar pelitup muka sekali saja dalam tempoh dua hingga tiga hari.

“Memang terkejut tetapi saya sudah menjangkakan perkara itu akan terjadi kerana tahu latar belakang keluarga mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

PERKONGSIAN Muhamad Fazri hingga tular di media sosial. FOTO ihsan Muhamad Fazri Hassan
PERKONGSIAN Muhamad Fazri hingga tular di media sosial. FOTO ihsan Muhamad Fazri Hassan

Muhamad Fazri berkata, niatnya berkongsi kisah itu di Twitter sekadar untuk menceritakan realiti berlaku terhadap muridnya supaya dapat membuka mata masyarakat mengenai isu berkenaan.

Namun, lain pula jadinya apabila ciapannya itu mendapat perhatian hingga ramai menghantar kiriman mesej dan komen kepadanya dengan menyatakan keinginan mereka untuk membantu.

“Apa yang dikongsikan itu cuma kisah murid saya tetapi ia mungkin terjadi kepada murid lain di negara ini.

“Niat saya adalah memberitahu realiti sebenar yang berlaku supaya masyarakat tidak memandang enteng isu ini.

“Terkejut juga apabila perkongsian itu menjadi tular tetapi saya senang hati melihat ramai yang peka dan menyokong mesej saya untuk membantu murid tidak berkemampuan di sekolah berhampiran penempatan mereka,” katanya yang mengajar subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Jasmani dan Kemahiran Manipulatif di sekolah berkenaan sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, masalah berkenaan sudah diselesaikan dengan kerjasama pengurusan sekolah.

“Bagi memastikan masalah itu tidak berulang, kami (guru) dan pihak sekolah mengambil langkah memeriksa pelitup muka murid pada setiap hari ketika waktu persekolahan.

“Bekalan pelitup muka percuma juga disediakan bagi menggantikan pelitup muka kotor dengan yang baru.

“Ini inisiatif yang diambil buat masa ini dan diharap, lebih ramai individu di luar sana tampil menghulurkan bantuan kepada murid yang memerlukan,” katanya.

Sehingga artikel ini ditulis, ciapan Muhamad Fazri mendapat lebih 6,000 ulang ciap dan lebih 5,600 tanda suka.