Musim kedua beri cabaran

APA sahaja watak yang diberikan kepada pelakon Wan Sharmila, semestinya dia tidak akan membuatkan penerbit, pengarah dan peminat kecewa.

Begitu jugalah dalam lakonannya menerusi drama 7 Hari Mencintaiku 2 di slot Akasia TV3 yang baharu berakhir semalam, ternyata meninggalkan impak besar terhadap penonton.

Sekali lagi, gandingan bersama pelakon lain seperti Siti Saleha, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly, Jaja Iliyes, Bil Azali, Liza Abdullah dan Kazar Saisi berjaya mengundang fenomena pada kalangan penggemar drama tempatan.

Pemilik nama sebenar Wan Sharmila Wan Mohamed ini berkata, lakonannya tidak putus-putus ditayangkan di kaca TV tetapi, drama 7 Hari Mencintaiku 2 nampaknya mempunyai tarikan tersendiri di mata peminat.

“Sebelum ini, kebanyakan peminat tahu berkenaan lakonan saya menerusi drama Tuan Anas Mikael dan beberapa lagi yang pernah disiarkan di TV.

“Cuma, ketika ini tak dinafikan drama 7 Hari Mencintaiku 2 begitu menjadi tumpuan ramai. Sudah tentu, saya bersyukur kerana akhirnya dapat juga satu karya yang orang berasa dekat dengannya.

“Lagipun, ini bukan kejayaan saya seorang kerana barisan pelakon lain turut saling melengkapi di antara satu sama lain, dan boleh dikata ia kerjasama berpasukan,” katanya.

Pelakon berusia 39 tahun ini juga gembira kerana dapat bekerja dengan penulis skrip berpengalaman, Siti Rosmizah yang berjaya menghasilkan dialog mantap, berseni serta membuai perasaan penonton.

“Drama ini boleh dikatakan mengikut konti siri pertama yang dihasilkan empat tahun dulu. Hanya jalan ceritanya sahaja, ada perbezaan.

“Musim kedua ini konfliknya lebih banyak dan sangat memberi cabaran buat saya. Bagaimanapun, Alhamdulillah bila tengok ramai orang suka.

“Untuk bercakap mengenai rating penonton pula, saya tak pasti sama ada tinggi atau tidak, namun yang penting kami semua dah buat kerja terbaik dan peminat menerima,” katanya.

Menurutnya, pelbagai maklum balas diperlihatkan oleh peminat yang menonton drama itu apabila melahirkannya dalam pelbagai cara hiburan.

“Ada yang buat parodi TikTok, sanggup edit (sunting) video dan bermacam lagi untuk ditunjukkan sebagai sambutan terhadap cerita ini. Nampaknya, minat mereka sangat mendalam.

“Apapun, populariti yang diraih menerusi drama ini memang saya akui sangat berbeza jika dibandingkan dengan karya pernah dilakonkan terdahulu.

“Sebelum ini, ada juga peminat yang menyebut nama watak yang saya lakonkan, tapi rezeki drama 7 Hari Mencintaiku 2 ini nampak sangat luar biasa. Nama Sofi Amylia benar-benar melekat,” katanya.

WATAK  Sofi Amylia lakonan Wan Sharmila beri impak besar populariti drama 7 Hari Mencintaiku 2.
WATAK Sofi Amylia lakonan Wan Sharmila beri impak besar populariti drama 7 Hari Mencintaiku 2.

Wan Sharmila berkata, ada yang menghantar mesej kepadanya memberitahu mahu mengikut caranya berhijab dan ia maklum balas sangat positif.

“Ada yang tanya apakah itu koleksi tudung saya sendiri dan pelbagai lagi. Ada juga yang mengadu masalah mereka pada saya dan mahu jadi seperti Sofi.

“Itulah kelainannya untuk drama yang ini. Malah, ada yang nak suami seperti Helmi (Syazwan). Nak ada kawan baik kepada Sofi dan macam-macam lagi.

“Bagaimanapun, penggambaran drama ini sebenarnya berlangsung agak panjang iaitu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kemudian, disambung semula,” katanya.

Menurutnya, dia juga berasa kekok apabila penggambaran disambung semula terutama untuk mendapatkan ‘mood’ watak dilakonkan itu.

“Apabila disambung semula, babak awal yang perlu saya buat agak berat. Jadi, memang susah sangat sebenarnya untuk melakonkannya.

“Bagi saya, ia betul-betul susah kerana ada ketikanya kena menangis dan bermain emosi, selain kena hafal dialog yang panjang. Namun, syukurlah apabila orang dapat terima lakonan saya dan ia satu bonus,” katanya.

Syazwan, hanya kawan

Tempias kepada populariti diraih gandingan Wan Sharmila dan Syazwan Zulkifli, turut membawa mereka membintangi sebuah telefilem bergenre seram yang kini dalam penggambaran.

Ujarnya, kemungkinan besar penangan drama 7 Hari Mencintaiku 2 yang mantap dan serasi di antara mereka membuatkan produksi mahu satukan lagi.

“Kali ini, saya dan Syazwan akan menjadi pasangan kekasih. Namun, jalan ceritanya agak seram kerana kami hampir-hampir bercinta,” katanya.

Mengulas permintaan dan spekulasi peminat yang mahu melihat dia bercinta realiti dengan Syazwan, Wan Sharmila menganggap ia sesuatu yang pelik.

“Entahlah, saya tak tahu nak cakap apa. Kita tak boleh nak berhentikan apa yang peminat cakap. Mereka suka sangat tengok gandingan kami, walaupun itu hanya lakonan.

“Pada saya, ia fenomena bermusim berikutan drama ini pun baharu habis disiarkan. Namun, saya yakin lama kelamaan mungkin orang akan diam.

“Saya sebenarnya tak nak cakap langsung berkaitan jodoh dan apa sahaja. Saya memang tak nak jawab langsung soalan ini kerana hubungan dengan Syazwan hanya kawan.

“Buat masa ini saya masih sendiri dan lebih senang serahkan soal jodoh dan pasangan pada ketentuan Allah,” katanya yang suka melancong.

Diusik kenyataan pernah dikeluarkan sebuah portal hiburan mengenai hubungan mereka, Wan Sharmila berkata, itu kenyataan yang dibuat oleh Syazwan sendiri dan bukan daripadanya.