Musim malang jurulatih

Kuala Lumpur: Musim jurulatih digugurkan apabila beberapa persatuan mengambil pendekatan tidak menyambung kontrak mereka musim depan atas alasan prestasi atlet kurang menentu selain mahu melakukan penjimatan selepas kekurangan peruntukan berikutan pandemik Covid-19.

Walaupun agak tidak adil pada jurulatih berkenaan berikutan sepanjang 2020 tiada sebarang pertandingan atau aktiviti sukan sebagai penanda aras, namun langkah terbabit terpaksa dilakukan demi memastikan perjalanan 2021 tiada masalah.

Ini bermakna, senario terbabit bakal menyaksikan lebih ramai jurulatih tempatan kehilangan pekerjaan dalam masa terdekat berikutan langkah drastik yang diambil persatuan sukan dalam usaha matlamat mereka tercapai.

Antara sukan yang berbuat demikian adalah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mengesahkan tiga jurulatih tidak berada dalam barisan kejurulatihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Badan induk itu menerusi satu kenyataan berkata, tiga jurulatih dimaksudkan ialah Rosman Razak, Chin Eei Hui dan Wong Pei Tty.

Terbaharu, Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bakal mengikuti jejak langkah itu dengan menamatkan kontrak beberapa jurulatih utama dalam mengharungi kejohanan musim depan.

Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat berkata, langkah terbabit perlu dilaksanakan dengan mengubah struktur kejurulatihan menerusi pelantikan tenaga pakar baharu bagi menggalas cabaran dan misi meraih kejayaan dalam sukan berkenaan.

Beliau berkata, pelantikan jurulatih baharu diumumkan dalam mesyuarat bersama kepimpinan tertinggi PABM bagi melantik individu berkelayakan menggalas cabaran itu.

”Kami melihat prestasi atlet angkat berat sama saja tiada sebarang peningkatan sekali gus mahu melakukan perubahan menerusi pelantikan jurulatih baharu.

”Oleh itu, sekurang-kurangnya dua jurulatih utama tidak disambung kontrak lagi dan PABM memberi ruang kepada individu berkelayakan menggantikan tempat terbabit.

”Setakat ini, kami lebih menumpukan kepakaran tempatan dan tidak memikirkan melantik jurulatih asing dalam barisan kejurulatihan PABM,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab menyatakan status barisan kejurulatihannya ditentukan dalam masa terdekat dengan tidak menolak kemungkinan ada yang ditamatkan kontrak.

”Status mereka diketahui dalam waktu terdekat selepas barisan kepimpinan mengadakan perbincangan bagi menentukan hala tuju persatuan pada musim depan,” katanya.

Menurut sumber Persatuan Squash Malaysia (SRAM) pula memaklumkan bahawa elaun dan gaji jurulatih ketika ini dibayar oleh Majlis Sukan Negara (MSN) menyebabkan tiada pembuangan atau penamatan kontrak.

”Namun, beberapa kakitangan sokongan akan ditamatkan kontrak berikutan kekurangan peruntukan selain turut mendengar perkhabaran bahawa elaun jurulatih kemungkinan turut dikurangkan,” katanya.