Mutu pengadilan Liga M lemah

Kuala Lumpur: Mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) yang lemah dan tidak berkualiti terus mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan dan kali ini ia membabitkan aksi antara Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.

Minggu lalu, kritikan sama turut dilemparkan kepada pengadil ketika aksi Terengganu FC menentang JDT di mana pengadil didakwa gagal membuat keputusan dengan tepat.

Malah, situasi sama turut berulang lagi di mana skuad Harimau Selatan dihadiahkan sepakan penalti pada babak kedua sedangkan terjahan yang dilakukan pemain Selangor jelas terbukti berlaku di luar kotak penalti.

Tindakan pengadil, Zulkarnain Zakaria memberi penalti dianggap ‘membunuh’ semangat pemain Red Giants yang akhirnya tumbang 6-1.

Perkara itu turut mendapat perhatian pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempertikaikan kualiti pengadil.

Menurut Tunku Ismail, sama ada penalti atau tidak, baginya pertahanan Selangor, Nick Swirad harus dilayangkan kad merah kerana jelas membentes Diogo daripada belakang.

STATUS Instagram Story Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempertikaikan kualiti pengadil.
STATUS Instagram Story Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempertikaikan kualiti pengadil.

“Penalti atau tidak penalti, sepatutnya kad merah. Pemain terakhir di belakang dan jelas mempunyai peluang terbuka menjaringkan gol diterjah dari belakang.

“Tetapi masa untuk move on,” katanya di laman story Instagram miliknya semalam.

Sementara itu, pelbagai status dan komen diluahkan penyokong bola sepak tempatan yang mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mewujudkan segera pengadil profesional bagi meningkatkan kualiti pengadil saingan Liga Malaysia.

Untuk rekod, pada tahun lalu FAM bercadang untuk menubuhkan kelompok pengadil profesional namun terpaksa ditangguhkan ekoran kekangan bajet.

Antara inisiatif badan induk itu mewujudkan Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) yang sepatutnya sudah bermula Julai lalu namun program berkenaan ditangguhkan hingga ke tahun depan.