Naik skuter 1,200km demi peperiksaan isteri

New Delhi: Seorang lelaki di India sanggup membawa isterinya yang hamil menaiki skuter sejauh 1,200 kilometer (km) bagi membolehkan wanita itu menduduki peperiksaan untuk menjadi guru.

Pasangan itu terpaksa menempuh perjalanan yang panjang dengan cuaca hujan dan keadaan jalan berdebu.

Mereka juga merentasi empat negeri selepas bertolak dari Kampung Ganta Tola, Godda di Jharkhand untuk ke pusat peperiksaan di Gwalior, Madhya Pradesh.

Gulf News melaporkan bahawa Dhananjay Kumar, 27, sanggup menempuh perjalanan sejauh itu untuk memberi sokongan kepada isterinya, Soni Hembram, 22.

Isterinya perlu menduduki peperiksaan itu bagi membolehkannya memperolehi Diploma Pendidikan untuk bergelar guru.

Menurut Kumar, mereka tidak dapat menggunakan pengangkutan awam kerana perintah kawalan pergerakan akibat Covid-19.

“Oleh kerana kereta api, bas dan pengangkutan awam tidak beroperasi, kami memutuskan untuk menaiki motosikal.

“Isteri saya yang sedang mengandung pada mulanya keberatan. Namun selepas melihat saya bersungguh-sungguh, dia bersetuju,” katanya.

Kumar berkata, jika dia menyewa teksi untuk ke Gwalior, harga yang perlu dibayar ialah 30,000 rupee (kira-kira RM1,700) dan ia satu jumlah yang besar.

Dia juga memajak semua barang kemas yang dimiliki dengan harga 10,000 rupee (kira-kira RM570) untuk kos perjalanan satu hala dan penginapan di Deendayal Nagar.

Sebelum ini, lelaki itu bekerja sebagai tukang masak, namun kehilangan pekerjaan berikutan penularan pandemik Covid-19.

Berita mengenai pasangan itu turut dikongsi penulis India, Kiran Manral yang menyifatkan wanita itu melakukan ‘pelaburan’ terbaik dengan mengahwini lelaki yang sanggup memenuhi impiannya.

Susulan kejadian, satu syarikat swasta juga menawarkan pasangan itu tiket penerbangan untuk mereka pulang ke kampung halaman.