Nama Faiz gah di luar negara

Kuala Lumpur: Bukan calang-calang pemenang Anugerah Puskas 2016 Mohd Faiz Subri, walaupun kini dilihat kerjaya dalam sukan bola sepak agak suram namun sebenarnya nama pemain itu cukup besar di luar negara sehingga bakal ditawarkan menjadi jurulatih teknikal teqball Hungary pada tahun depan.

Malah, jika perkara berkenaan menjadi kenyataan, pemain berasal dari Pulau Pinang itu menjadi individu pertama dari Malaysia berkelana ke luar negara sebagai jurulatih dalam sukan berkenaan.

Presiden Persatuan Teqball Malaysia (MTA) KJ Siva berkata, pemilihan Faiz sebagai jurulatih teknikal sukan berkenaan adalah berdasarkan kemahiran dan pengalamannya hingga berjaya memenangi Anugerah Puskas.

Beliau berkata, Persatuan Teqball Hungary sememangnya sudah menunjukkan minat untuk mengambil Faiz menggalas tanggungjawab terbabit bermula pada musim depan.

“Walaupun kita melihat nama Faiz seakan tenggelam sekarang ini namun ramai tidak tahu di luar negara pemain berkenaan cukup dikenali.

“Mereka sememangnya mahukan Faiz sebagai jurulatih teknikal dan sekarang ini hanya menunggu maklum balas daripada mereka.

“Jika di Hungary, individu yang memenangi Anugerah Puskas cukup dikenali, sekali gus mahukan Faiz menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan Teqball mereka,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro menerusi ruangan minda dilaporkan oleh Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Datuk Jasni Shafie mendedahkan pemain berusia 33 tahun itu menjalani kehidupan tanpa pekerjaan tetap berikutan industri bola sepak tempatan terkesan oleh pandemik Covid-19.

Keperitan yang melanda pemain bola sepak di Malaysia bukan suatu rahsia lagi sehinggakan ada bekas pemain kebangsaan terpaksa menjual pingat dan trofi kejuaraan yang diterima kerana masalah ekonomi.

Sementara itu, Siva berkata, Faiz menunjukkan minat untuk mengisi kekosongan jawatan itu dan bersedia mengubah haluan daripada seorang pemain bola sepak kepada bidang kejurulatihan.

“Kami sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Faiz dan dia setakat ini bersetuju seterusnya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama pihak Persatuan Teqball Hungary.

“Kemungkinan, Faiz akan ke negara berkenaan bermula musim depan dengan kontrak ditawarkan untuk tempoh setahun,” katanya.

Sementara itu, Faiz yang dihubungi enggan mengulas lanjut kerana belum pasti dengan tawaran itu dan masih membabitkan perbincangan awal.