Namaku Corona Kumar

Paris: Tahun 2020 mungkin akan dikenang sebagai tahun paling suram dalam dekad ini, susulan penularan pandemik Covid-19.

Pada satu ketika, ia memaksa hampir satu pertiga populasi dunia dikenakan sekatan pergerakan dalam pelbagai bentuk dan nama.

Namun, tahun ini turut merakamkan beberapa bahan berita yang manis untuk dikenang sebelum kita melangkah ke tahun baharu.

Berikut antara beberapa laporan yang menjadi bahan berita paling menarik dan lucu tahun ini:

1. Bandar paling ‘lucah’

Sebuah kampung di Austria, terpaksa menukar namanya kepada Fugging pada 1 Januari selepas bertahun-tahun menjadi bahan lawak kerana nama asalnya yang begitu lucah di dalam Bahasa Inggeris.

Sebelum itu, bandar berkenaan menjadi sasaran kepada individu yang merakamkan gambar dengan papan tanda nama asal bandar berkenaan dan ada yang bertindak mencurinya.

Menurut datuk bandarnya, keputusan menukar nama itu kerana pihaknya tidak tahan dengan pelbagai sindiran dan komen daripada orang ramai.

CIP telefon bimbit diperbuat daripada najis lembu. FOTO AFP
CIP telefon bimbit diperbuat daripada najis lembu. FOTO AFP

2. Cip telefon najis lembu

Suruhanjaya Lembu Kebangsaan India mendedahkan cip telefon bimbit yang diperbuat daripada najis lembu yang didakwa dapat melindungi pengguna daripada radiasi.

“Semua ini disebabkan oleh sains,”‘ kata ketua agensi berkenaan yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Narendra Modi daripada parti nasionalis Hindu.

Selain itu, beberapa ahli Parlimen daripada parti sama mendakwa najis lembu dan air kencing lembu sebagai penawar kepada Covid-19.

3. Monolit misteri

Monolit misteri dikesan kawasan gurun di Utah, Amerika Syarikat (AS) menimbulkan teoris mengaitkannya makhluk asing, tetapi secara tiba-tiba ‘hilang’ selepas seminggu.

Beberapa hari kemudian, monolit serupa dilihat di kawasan pergunungan di Romania, sebelum ‘lenyap’.

Ia tidak terhenti di situ apabila monolit serupa dilihat di Warsaw, Belanda dan Isle of Wight di England.

MONOLIT misteri dikesan kawasan gurun di Utah, AS. FOTO AFP
MONOLIT misteri dikesan kawasan gurun di Utah, AS. FOTO AFP

4. Berebut tisu tandas

Polis dipanggil ke sebuah pasar raya di Sydney, Australia bagi menyuraikan pergaduhan tiga wanita yang berebut tisu tandas.

Ia berlaku sebelum negara itu melaksanakan sekatan pergerakan (lockdown) pada Mac.

Seminggu sebelumnya, sekumpulan perompak melarikan lori yang membawa muatan tisu tandas bernilai AS$150 (kira-kira RM608) di Hong Kong.

Selain itu, polis Oregon terpaksa memuat naik hantaran di Facebook: “Jangan hubungi 911 hanya kerana anda kehabisan tisu tandas.”

5. Jangan campak anak anda

Sebuah sekolah di Avignon, Perancis terpaksa memuat naik papan tanda mengingatkan ibu bapa supaya berhenti daripada mencampak anak mereka melepasi pintu pagar sekolah yang setinggi 1.8 meter.

Ia selepas ada ibu bapa bertindak sedemikian jika anak mereka lewat tiba di sekolah.

6. Sarkas Parlimen Taiwan

Sebilangan ahli Parlimen Taiwan mencampakkan organ dalaman babi ketika perbalahan mengenai import babi daripada AS.

Ia sebagai bantahan terhadap keputusan kerajaan melonggarkan sekatan import haiwan itu dari negara berkenaan.

Wakil rakyat Parti Kuomintang (KMT) melonggokkan beberapa baldi berisi organ dalaman babi dalam dewan Parlimen dan kemudiannya mula melempar usus, jantung, hati dan organ lain kepada wakil rakyat penyokong kerajaan.

7. Isi borang untuk tumbuk muka orang

Seorang lelaki Perancis menulis ‘mahu menumbuk muka seorang lelaki’ sebagai alasan untuk keluar dari rumah pada masa perintah berkurung ketika lockdown di negara itu.

Pihak berkuasa berkata, lelaki terbabit menulis namanya, butiran peribadi lain dan alasan berkenaan di dalam borang pengecualian untuk keluar rumah.

Bagaimanapun, dia tetap dikenakan denda kerana melanggar perintah berkenaan kerana alasan itu tidak diterima oleh pihak berkuasa.

DAGMAR Turner menggesek biola ketika doktor mengeluarkan tumor dari otaknya. FOTO AFP
DAGMAR Turner menggesek biola ketika doktor mengeluarkan tumor dari otaknya. FOTO AFP

8. Gesek biola ketika otak dibedah

Seorang wanita menggesek biola ketika pakar perubatan bertungkus-lumus mengeluarkan tumor di bahagian otaknya.

Ia bagi mengelak pakar bedah membedah bahagian otak yang boleh menjejaskan kemampuannya untuk bermain biola.

Wanita itu, Dagmar Turner, 53, dilaporkan berbuat demikian kerana berharap dapat menyertai semula orkestranya selepas pembedahan berkenaan.

Dagmar yang mempunyai anak lelaki berusia 13 tahun selamat menjalani pembedahan itu pada Februari lalu, dan dibenarkan keluar tiga hari selepas prosedur berkenaan.

9. Nama anak paling gila

Satu pasangan di Switzerland sanggup untuk menamakan anak mereka dengan nama Twifia iaitu penyedia perkhidmatan internet demi untuk mendapatkan langganan percuma untuk 18 tahun.

Selain itu, seorang bayi lelaki di India dinamakan Lockdown oleh ibu bapanya manakala seorang bayi di tenggara negara sama dinamakan Corona Kumar kerana dilahirkan ketika pandemik Covid-19.

TANDAS lut sinar di Tokyo. FOTO AFP
TANDAS lut sinar di Tokyo. FOTO AFP

10. Tandas ajaib Jepun

Jepun memperkenalkan inovasi tandas awam yang lut sinar ketika tidak digunakan di sebuah taman di Tokyo.

Kaca tandas akan menjadi kabur dan tidak lut sinar apabila ada individu yang menggunakannya.

Teknologi itu bagi membolehkan orang ramai memeriksa kebersihan tandas sebelum membuat keputusan untuk menggunakannya.