Neelofa jawab, jam 8 malam ini

Kuala Lumpur: “Saya ada bersama Neelofa ketika ini. Alhamdulillah, dia berada dalam keadaan baik dan tenang,” kata pengurus kepada selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa iaitu Shawn Amer mengenai keadaan terkini pengacara itu.

Shawn berkata, Neelofa akan menjawab segala spekulasi yang dikaitkan dengannya hari ini dan mohon sedikit ruang.

“Pihak kami  akan menyiapkan kenyataan rasmi dan diedarkan kepada rakan-rakan media sebentar lagi,” katanya ringkas.

Bekas pengacara MeleTOP itu dijangka mengeluarkan kenyataan media sekitar jam 8 malam ini.

Terdahulu, kecoh di media sosial mengenai status hubungan Neelofa dan PU Riz yang dikatakan berada dalam keadaan yang tidak baik.

Ia susulan beberapa foto tangkap layar Instagram Story adik-beradik Neelofa yang tular, sejak semalam.

Apa yang mencuri perhatian, foto merisik PU Riz dan Neelofa khabarnya sudah dipadamkan daripada Instagram, selain ibu dan adik-beradik personaliti popular itu dikatakan sudah tidak mengikuti PU Riz atau nama sebenarnya Hariz Ismail di media sosial.

Bagaimanapun tinjauan Harian Metro hari ini mendapati PU Riz dan Neelofa masih saling mengikuti di antara satu sama lain.