Nenek, cucu maut rumah terbakar

Batu Pahat: Nenek dan cucunya meninggal dunia selepas kediamannya terbakar di Taman Puteri Indah, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, kejadian 1.02 pagi itu membabitkan rumah dua tingkat dan enam mangsa.

Katanya, Siti Zaleha Jaafar, 50, dan cucunya Ahmad Shuhil Ahmad Osman, 4, didapati tidak sedarkan diri, manakala Siti Khairiah Mohd Don, Ahmad Syaihan Ahmad Osman, 3; Ahmad Syahid Ahmad Osman, 4 bulan; dan wanita dikenali sebagai Wati, 30, dipercayai pembantu rumah cedera.

“Kebakaran memusnahkan 70 peratus jumlah keseluruhan rumah berkenaan dan kesemua mangsa diselamatkan oleh pihak bomba melalui tingkap di tingkat dua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat menggunakan jentera EMRS dan ambulans.

“Wanita dan cucunya yang tidak menyedarkan diri disahkan meninggal dunia selepas beberapa jam mendapat rawatan di hospital.

“Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada 3.18 pagi,” katanya.

Katanya, 25 orang anggota, satu jentera FRT, dua jentera LFRT dan dua jentera EMRS daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram dan BBP Batu Pahat di hantar ke tempat kejadian.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa enggan ditemuramah dan kedua-dua jenazah wanita dan cucunya itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira 3 petang di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cermai, Batu Pahat.