Nenek maut ditikam peragut [METROTV]

SEORANG warga emas meninggal dunia dipercayai ditikam peragut dalam kejadian di Kampung Tok Kamis, di Pasir Puteh, petang semalam.

Lebih menyedihkan, kejadian kejam menimpa Azizah Mohamed, 82, disedari ahli keluarga, jam 6.10 petang, sejam sebelum waktu berbuka.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintedan, Mohd Azmir Damiri berkata, ketika kejadian anak dan menantunya, Nasaruddin Adam, 43 dan Musliza Mohamad, 43, keluar membeli lauk untuk juadah berbuka, manakala mangsa berada di rumah bersama seorang lagi anaknya, Yusliza Adam, 40 yang juga orang kurang upaya (OKU).

“Sebaik tiba di rumah, mereka terkejut apabila menjumpai mangsa dalam keadaan terbaring di tepi tangga mengerang kesakitan akibat ditikam.

“Polis percaya mangsa diragut sebelum ditikam berdasarkan barang yang hilang pada tubuh si mati adalah seutas rantai leher yang biasa dipakai mangsa,” katanya ketika dihubungi di bilik mayat Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, malam tadi.

Mohd Azmir berkata, ahli keluarga membawa mangsa mendapatkan rawatan kecemasan di hospital namun dimaklumkan warga emas meninggal dunia jam 8 malam.

Katanya, hasil siasatan awal polis mengesan mangsa mengalami kecederaan luka di kening bahagian kanan dan dua tikaman di bahagian dada sebelah kiri dipercayai menggunakan objek tajam.

“Polis sedang mengesan suspek yang berkemungkinan dilakukan seorang atau lebih,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, adik mangsa, Selma Mohamad, 60, berkata, dia mengetahui kejadian malang menimpa kakak sulungnya itu pada 9.30 malam.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa kakaknya sehari sebelum puasa apabila mangsa membawa ubi ke rumahnya di Kampung Kandis, kira tiga kilometer daripada rumah mangsa.

“Walaupun sudah berusia lanjut namun kakak masih sihat, malah sering menjadi guru Al-Quran kepada cucu dan ahli keluarga, jadi saya terkejut apabila dimaklum kakak meninggal kena tikam peragut,” katanya yang memberitahu arwah juga ibu tunggal yang sudah kematian suami sejak 20 tahun lalu.

Selma berkata, ahli keluarga berharap pelaku dapat ditangkap segera dan dikenakan hukuman setimpal.