Netanyahu yakin rampas sebahagian besar Tebing Barat pada musim panas

Netanyahu yakin dapat merampas sebahagian besar Tebing Barat pada musim panas ini dengan sokongan daripada AS. – Sebastian Scheiner/Pool via REUTERS

PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yakin dapat merampas sebahagian besar Tebing Barat pada musim panas ini dengan sokongan daripada Amerika Syarikat (AS).

Tambahnya, tiga bulan lepas, Presiden AS, Donald Trump mengiktiraf hak Israel untuk merampas kawasan termasuk Judea dan Samaria.

Ini menurutnya, akan memenuhi janji penubuhan negara Israel.

Langkah kontroversi ini dijangka mengundang kecaman komuniti antarabangsa dan menghapuskan sebarang usaha untuk pelan damai dengan penyelesaian dua negara.

Palestin sebelum ini dengan sokongan antarabangsa inginkan seluruh Tebing Barat dijadikan negara merdeka.

Kesatuan Eropah sebelum ini menyatakan rampasan tersebut adalah pelanggaran undang undang antarabangsa dan akan memaksa Israel untuk bertindak mengikut undang undang.

Wakil PBB ke Asia Barat menyatakan langkah tersebut akan meningkatkan lagi ketidaktentuan di rantau itu.

Pada akhir minggu lepas, protes diadakan ke atas kerajaan campuran yang akan mengekalkan Benjamin Netanyahu sebagai perdana menteri.

Netanyahu akan dibicarakan bulan depan atas tuduhan penipuan, pecah amanah dan rasuah.