New Zealand, Australia komited teruskan perjalanan antara dua negara

PM Australia, Scott Morrison (kanan) memberitahu bahawa pihaknya telah berbincang dengan PM New Zealand, Jacinda Ardern (kiri) sejak beberapa minggu lalu dalam mewujudkan zon perjalanan yang selamat di antara dua negara itu. – Reuters

CANBERRA: Pemimpin Australia dan New Zealand, komited dalam meneruskan perjalanan antara kedua negara apabila keadaan selamat kelak.

Perkara itu disentuh dalam mesyuarat antara Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dan rakan sejawatnya dari New Zealand, Jacinda Ardern.

Mesyuarat itu dilalukan secara maya.

Morrison memberitahu bahawa pihaknya telah berbincang dengan Ardern sejak beberapa minggu lalu dalam mewujudkan zon perjalanan yang selamat di antara dua negara itu.

Kedua-dua negara itu pada masa sama dikatakan berjaya mengatasi wabak COVID-19.

Setakat selasa, New Zealand berjaya mencatatkan kes sifar COVID-19 untuk tempoh dua hari berturut-turut manakala Australia melaporkan 25 kes baharu pada Selasa.

Sementara itu Ardern berkata, dua negara Komanwel itu meraih manfaat besar daripada perjalanan antara rakyat dua negara.

Tahun lalu sahaja, 1.2 juta warga New Zealand mengunjungi Australia manakala 1.6 juta orang Australia mengunjungi New Zealand.