‘Niat saya untuk pastikan dia tak kelaparan’

Kuantan: “Saya lihat wanita itu berada di kaki lima berkenaan sejak petang ketika melakukan rondaan, saya mula terfikir dan bertanyakan kepada rakan kemungkinan wanita berkenaan tidak makan lagi dan lapar memandangkan hujan di sepanjang hari,” kata Koperal Mohd Hafiz Yusree Zahari.

Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu menjadi perhatian berikutan rakaman video keprihatinannya dan rakan setugas memberi makanan serta minuman kepada seorang gelandangan di kaki lima di sebuah bangunan di Jalan Mahkota di sini, tular.

Menurutnya, dia yang menjalankan rondaan bersama Konstabel Muhamad Azrien Man di kawasan itu mula berasa kasihan dengan wanita terbabit selepas mendapatinya masih berada di situ selepas dua kali melalui jalan berkenaan.

Katanya, dia dan rakannya tergerak hati membelikan makanan dan minuman untuk wanita terbabit sebelum menamatkan tugasan rondaan pada 11 malam.

“Saya sempat bertanyakan kepadanya sama ada sudah makan atau belum ketika menghulurkan makanan kepadanya.

“Ternyata tekaan saya tidak silap apabila wanita itu beritahu dia belum makan lagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Mohd Hafiz Yusree yang bertugas sebagai anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah Komuniti dan Kemasyarakatan IPD Kuantan, dia berharap pemberiannya itu dapat menggembirakan wanita berkenaan.

Katanya, video yang tular itu dirakam pada 2 Disember lalu ketika daerah berkenaan dilanda hujan.

“Ketika itu niat saya hanya untuk memastikan wanita itu tidak kelaparan,” katanya.