Nikmati kemanisan hidup

SELAMAT tinggal 2020, selamat datang 2021.

Walaupun 2020 dianggap penuh ujian dan dugaan, masih ada kemanisan dan kegembiraan.

Begitu juga halnya dengan pelakon dan pengacara tekenal, Scha Alyahya apabila disahkan hamil tahun lalu dan akan melahirkan anak pada Februari depan.

Pastinya itu adalah khabar gembira yang tidak terkira apatah lagi sudah enam tahun menunggu untuk dikurniakan cahaya mata kedua.

Scha berkata, di usia kandungan mencecah lebih tujuh bulan, dia bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk aktif bekerja.

Dalam masa sama, dia juga lebih suka berkepit dengan anak sulungnya, Lara Alana jika tidak keluar ke mana-mana.

“Alhamdulillah, usia kandungan saya sudah lebih tujuh bulan. Keadaan saya sekarang macam biasa, cuma banyak habiskan masa di rumah kalau tak kerja sebab saya rasa ‘clingy’ dengan Lara. Asyik nak berkepit dengan dia.

BAGI Scha kehamilan kedua ini lebih relaks dan tenang.
BAGI Scha kehamilan kedua ini lebih relaks dan tenang.

“Sebenarnya, saya suka duduk rumah. Sudah terbiasa sejak Mac tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Cuma, tuntutan kerja kebanyakannya nak saya habiskan sebelum saya bersalin. Lagipun saya suka aktif seperti kehamilan dulu. Seminggu sebelum bersalin pun masih aktif. Harapnya senang untuk bersalin apabila aktif ni,” katanya.

Tentu sahaja khabar yang ditunggu-tunggu selepas ini adalah jantina anak yang bakal dilahirkan.

Jika anak sulung hasil perkahwinan dengan pengacara, Awal Ashaari adalah perempuan, ramai peminat sudah mulai berteka-teki anak dalam kandungan Scha sekarang adalah lelaki.

“Boleh kata kebanyakannya teka lelaki. Apa pun, saya berdoa semoga bayi yang lahir ini sihat dan sempurna fizikal mental dan emosi, Insya-Allah,” katanya.

Namun, Scha berkongsi dia dan suami sepakat menamakan cahaya mata kedua mereka dengan pangkal L dan A.

Ia susulan perkongsian Awal di Instagram Story menerusi Ask Me Question yang mana menjawab pertanyaan peminat mengenai nama anak kedua mereka nanti.

SCHA dijangka lahirkan anak kedua pada Februari depan.
SCHA dijangka lahirkan anak kedua pada Februari depan.

“Betul. ‘Initials’ nama sama. Baik lelaki atau perempuan iaitu L dan A,” katanya ringkas.

Berpantang cara tradisional

Ditanya mengenai proses berpantang nanti, Scha berkata, dia memilih cara tradisional sama seperti pengalaman lalu.

“Proses berpantang adalah yang paling teruk untuk saya dulu sebab saya ditunku setiap hari. Tak tahan panas, tapi saya tetap akan memilih tradisional. Cuma lokasi kena pilih memandangkan saya tengah proses berpindah rumah,” katanya.

Menurut Scha juga, dia tidak mahu terburu-buru untuk kembali bekerja selepas selamat bersalin.

“Tengok pada keadaan dan situasi saya. Kehamilan kedua ini saya lebih relaks dan tenang. Tak terlalu terburu-buru untuk mula kerja. Walaupun sudah ada yang bagi jadual dan bertanya bila untuk boleh mulakan penggambaran dan sebagainya,” katanya.

Mengenai kesediaan Lara menerima kehadiran adiknya nanti, Scha berkata, dia sudah cukup faham.

“Dia seakan sudah boleh menerima. Dia terbabit dalam membeli barang ‘baby’. Dia akan cadangkan warna dan jenis mainan atau baju untuk adik dia,” katanya.

Bersempena tahun baharu ini, Scha berharap dia dan keluarga akan terus kuat dan kekal positif.

“Harapan saya supaya walau apapun cabaran, saya dan keluarga akan sentiasa kuat dan positif sebagai satu unit. Tahun 2020 banyak mengajar. Semoga kami lebih kuat dan segala kerja kami lakukan akan dipermudahkan Allah SWT,” katanya.