‘Nombor telefon saya bukan rahsia’ [METROTV]

Kelibat Pak Long Mail membuat pengumuman baharu di kaca televisyen sentiasa ditunggu ramai. Popularitinya sudah mengalahkan selebriti.

  Ke mana saja Pak Long Mail pergi, ramai yang mahu bergambar, malah sebahagian besarnya turut meluahkan keluh kesah hidup sepanjang sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  Daripada kemeja, baju batik sehinggalah barangan di rak yang dijadikan latar pengumuman harian, habis sebahagiannya dibida penonton.

  Pak Long Mail marah? Tidak sama sekali, malah ia antara yang menggembirakan serta mencuit hati beliau.

  Ikuti wawancara Menteri Kanan (Keselamatan), DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB bersama Pengarang Berita NAZARALI SAERIL, wartawan, YUSMIZAL DOLAH ALING, MUHAMMAD SAUFI HASSAN, juruvideo, ALLYME AHMAD IZAM serta jurugambar, EIZAIRI SHAMSUDDIN berkaitan kehidupan harian serta tugasnya.

Ada yang mahu menjadikan watak Pak Long Mail dalam animasi?

Saya menghargai setiap apa yang dibuat oleh rakyat. Apabila rakyat atau netizen panggil saya Pak Long, ia menunjukkan satu kemesraan…pengiktirafan netizen kepada saya.

  Ramai yang mesej saya (aplikasi WhatsApp). Nombor (telefon) saya bukan rahsia, panggil Pak Long, saya okay, itu menyeronokkan saya. Saya rasa rapat dengan rakyat.

  Jika ada pihak ingin letak watak animasi, saya okay kerana ia menunjukkan rakyat menerima saya.

Datuk Seri antara individu yang sibuk sepanjang pandemik Covid-19. Setiap kali tampil di kaca televisyen, Datuk Seri kelihatan segar tidak kira pagi, petang atau malam sekali pun. Komen?

Kalau kita bersemangat dengan kerja, kadang-kadang kita tidak rasa penat. Dalam masa sama, saya mengambil makanan tambahan juga.

  Saya ambil makanan tambahan dalam enam hingga tujuh biji sehari kerana tugas ini tidak menentu. Makan pun tidak menentu, mana sayurnya, adakala saya makan mi segera kerana kita mengejar masa.

  Jadi kita tinggalkan makanan yang berkhasiat kerana tuntutan kerja. Oleh itu, saya memang amalkan pengambilan makanan tambahan sejak dulu lagi.

Bagaimana pula dengan waktu rehat Datuk Seri, adakah Datuk Seri sering tidur lewat untuk meneliti dokumen sebagai persediaan?

Orang politik macam saya tidak boleh tidur awal, saya melayan semua mesej di WhatsApp daripada rakyat dan saya akan jawab semuanya…satu persatu.

  Kalau dalam akaun Instagram saya, memang saya uruskan sendiri daripada kiriman gambar, video serta keterangannya, saya buat semuanya sendiri.

  Kadang-kadang cerita lain, tetapi komen macam-macam. Ada yang minta restoran dibuka sampai jam 10 malam dan saya jawab semuanya.

  Saya tidur sekitar jam 1 hingga 2 pagi setiap hari dan bangun jam 6 pagi, itu sudah menjadi rutin saya setiap hari.

Bagaimana perubahan Datuk Seri jika dibandingkan sebelum ini iaitu selepas Mei 2018 apabila tidak menjadi sebahagian daripada anggota kerajaan dan ketika ini, selepas dilantik sebagai menteri kanan?

Memang satu perubahan, tetapi kita perlu jadi diri kita sendiri. Kalau dulu macam tu, sekarang pun kena macam tu juga.   Saya boleh lihat perubahan di khalayak. Apabila saya turun di lapangan, dulu kurang diberi perhatian tetapi hari ini, ramai orang minta ambil gambar swafoto dan sebagainya.

  Lebih manis apabila saya turun di kawasan Parlimen sendiri pun orang masih mahu bergambar sedangkan saya sudah menjadi Ahli Parlimen sejak 2004 lagi.

  Apabila kita diperhatikan, kita perlu menjaga hati banyak pihak dan perkara itu bagi saya adalah momen manis.

ISMAIL Sabri ketika ditemuramah oleh wartawan Harian Metro di Pejabat Menteri Pertahanan Malaysia, Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
ISMAIL Sabri ketika ditemuramah oleh wartawan Harian Metro di Pejabat Menteri Pertahanan Malaysia, Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Sepanjang penularan Covid-19 ini, perkara paling merisaukan Datuk Seri?

Perkara yang merisaukan saya jumlah (positif Covid-19). Saya risau jika semalam, contohnya 2,000 orang positif, hari ini melonjak lebih 3,000 orang.

  Selepas itu saya risau tentang pertambahan jumlah pesakit yang meninggal dunia, dua perkara ini cukup mengganggu mood saya untuk hari itu.

  Kehilangan ahli keluarga perkara yang menyedihkan dan saya faham dengannya.

 

Ada yang bercakap tentang PKP 2.0 ini yang dilihat tidak seketat dahulu?

Waktu PKP pertama dulu, kita tidak ada pengalaman, kita tidak boleh mengikut negara lain kerana mereka juga tidak berpengalaman seperti kita. 

  Jadi kita ambil keputusan untuk tutup hampir keseluruhan sektor ekonomi apabila angka sudah mencecah lebih 300 mangsa, kita jadi panik.

  Untuk menutup hampir semua sektor ekonomi, itu yang terbaik bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jangan keluar dan duduk di rumah, malah kita berjaya melandaikan kes jangkitan sehingga sifar untuk satu masa.

  Tetapi kita belajar daripada pengalaman keadaan itu menyukarkan banyak pihak, negara kehilangan pendapatan RM2.4 bilion sehari, malah ada anggota masyarakat kita hilang punca kewangan.

  Kita nampak perlu ada perimbangan sektor ekonomi dan kesihatan. Betul, kita tidak mahu kes terus meningkat tetapi kita juga tidak mahu mereka hadapi saat cukup sukar apabila terputus sumber pendapatan.

Menyentuh tentang senario politik, sebagai Naib Presiden Umno, apakah Datuk Seri melihat tentang keinginan Umno untuk menang dalam pilihan raya umum?

Umno ingin menang. Jadi kita perlu perkuatkan Umno itu sendiri.

  Lihat saja sesuatu tamadun itu, ia runtuh bukan kerana apa, tetapi kerana bergaduh sesama sendiri.

  Pertama, perkasakan parti dan perkukuhkan perpaduan. Kedua, kita perlu ada hala tuju dan strategi yang jelas.

  Ketiga, adakah jentera parti bersedia. Are we ready? (adakah kita bersedia) di peringkat bahagian.

  Sebelum ini ada cadangan mahukan pilihan raya pada Mac, jentera kita sudah bersediakah? Bukan saja kepada peringkat bahagian, tetapi yang penting adalah di peringkat cawangan.

  Jika cawangan tidak bersedia  kita kalah juga.

  Selain itu, fakta, data dan statistik  perlu ada. Sebelum berperang kita kena ada fakta, macam mana hendak berperang jika kita tidak ada fakta.

  Perlu lihat macam mana sokongan kita, berapa pertambahan sokongan. Jika kita tidak bersedia tetapi turun berperang, ia ibarat membunuh diri.

Akar umbi menyatakan mahu memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), boleh Datuk Seri ulas?

Kita faham agak susah daripada segi chemistry antara Umno dan Bersatu. Dulu dia kawan kita, duduk makan semeja dan tiba-tiba menjadi musuh, jadi lain sikit perasaan.

  Ia berbeza dengan orang yang memang kita kenal sebagai musuh, kita layan sebagai musuh dari awal dan apabila kita berdamai, kita boleh bermuafakat dengan baik.

  Sebenarnya kita perlu buat kajian empirikal yang mendalam sebelum keputusan dibuat.

  Pertama, kajian ini perlu untuk membuat penilaian, jika kita masuk pilihan raya dengan bertiga (tiga parti) apa keputusan yang dijangkakan.

  Jika kita berdua apa keputusan dan jika bersendirian apa keputusannya.

  Kita tidak boleh emosi dalam membuat keputusan kerana kita mahu menang pilihan raya, kita bukan tunjuk kuat atau tunjuk siapa lebih garang dalam isu ini.

  Emosi ini akan undang bahaya, kita berperang dalam keadaan marah. Orang tua selalu pesan, jika kita mahu bergaduh, jangan dalam keadaan marah kerana musuh akan nampak kelemahan kita.

  Seharusnya ada kajian mendalam dilakukan baru kita buat keputusan selepas ada maklumat lengkap di tangan kita.