Norehan yang berhati mulia

MESKIPUN tiada pertalian darah, ibu lima anak, Norehan Rahmat sanggup membantu memesan makanan dan menghantarnya kepada wanita warga emas yang tinggal bersendirian di flat dekat Sentul, Kuala Lumpur.

Norehan, 49, berkata, penghantaran makanan itu dilakukan secara suka rela dengan niat memudahkan wanita berkenaan mendapatkan juadah berbuka puasa.

Menurutnya, dia berkenalan dengan wanita itu selepas membantu peniaga otak-otak menghantar pesanan dibuat oleh anak warga emas itu pada Ramadan kedua.

“Saya bertemu dengan mak cik itu secara tidak sengaja sebenarnya ketika menghantar otak-otak dipesan daripada seorang peniaga. Ketika itu, barulah saya tahu dia tinggal sendirian dan anaknya yang membuat pesanan kerana tinggal berjauhan.

“Ketika pertemuan itu, dia memberitahu mahu memesan lagi makanan untuk juadah berbuka esok hari dan sanggup memberi upah kepada saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun, Norehan mengakui tidak sampai hati untuk mengambil upah dan akhirnya menawarkan diri membelikan juadah berbuka puasa untuk dihantar terus ke rumah wanita berkenaan yang tinggal di tingkat 12 flat berkenaan.

Katanya, pertolongan itu juga dihulurkan kerana tiada bazar Ramadan dianjurkan di kawasan perumahan itu berbanding tahun sebelumnya.

“Ikutkan, saya adalah peniaga karipap sejuk beku dan bukannya penghantar makanan. Namun, saya mahu membantu mak cik berkenaan kerana juadah berbuka puasa dijual secara atas talian.

“Saya bimbang ada masalah ketika dia berurus niaga jadi lebih baik saya bantu lagipun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berjalan dan anaknya pula tinggal jauh. Ini sahaja yang termampu saya lakukan untuk membantunya,” katanya.

Norehan berkata, dia tidak sangka perkongsiannya menerima banyak maklum balas hingga tular di laman sosial.

“Saya tiada niat untuk meraih perhatian atau mengaibkan sesiapa dan tidak mahu ada yang salah sangka dengan keluarga terutama anak makcik berkenaan tanpa tahu cerita sebenar.

“Ini kerana anaknya prihatin cuma tinggal jauh dan saya perlu mengambil tanggungjawab membantu. Diharap, orang ramai mengambil mesej itu daripada sudut positif sempena bulan mulia ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan