Normal Baharu: Restoran di Thailand mula beroperasi seperti biasa

Meja makan pula harus dijarakkan dan wajib dibersihkan selepas setiap pelanggan menggunakan meja tersebut. – Gambar REUTERS

BANGKOK: Buat pertama kalinya sejak pertengahan Mac lalu, pelanggan di Bangkok, Thailand, dibenarkan makan di restoran selain membungkus dan bawa pulang makanan.

Bagaimanapun, pelanggan dan juga pengusaha restoran perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Kerajaan memutuskan semua restoran mesti menyediakan cecair pembasmi kuman di pintu masuk, dan suhu badan pelanggan mesti dimbil sebelum dibenarkan masuk.

Meja makan pula harus dijarakkan sekurang-kurangnya 1.5 meter dan wajib dibersihkan selepas setiap pelanggan menggunakan meja tersebut.

Bagi kakitangan pula, mereka perlu memastikan ada ruang di antara pengunjung jika terdapat dua pelanggan duduk di meja yang sama.

Thailand mungkin bebas daripada perintah 'lockdown' tetapi negara itu masih dalam keadaan berjaga-jaga.

Selain itu, pihak berkuasa juga telah membuka semula taman bandar, termasuk, Lumpini Park, Bangkok.

Setiap pengunjung yang masuk ke taman tersebut harus memakai penutup hidung dan mulut selain menjalani pemeriksaan suhu.

Pada Selasa, pengunjung di taman berkenaan memulakan aktiviti berjoging dan berjalan di sekitar kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, aktiviti beriadah berkumpulan masih dilarang, begitu juga penggunaan peralatan latihan awam.

Perhimpunan besar juga masih dilarang.

BACA: COVID-19: Thailand rekod kes baharu paling rendah, kematian sifar

Sehingga jam 1 petang Selasa, Thailand merekodkan 2,988 kes postif COVID-19 dengan 54 kematian.