Operasi besar-besaran periksa warga asing

RATUSAN warga asing yang tinggal di sekitar Jalan Masjid India, Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Tunku Abdul Rahman diperiksa pihak berkuasa, hari ini.

Operasi besar-besaran itu bermula pada jam 8.30 pagi dan memberi fokus kepada tiga jalan berkenaan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Tinjauan Harian Metro mendapati kira-kira 300 anggota penguat kuasa dari pelbagai agensi terbabit dalam operasi berkenaan.

Bagaimanapun pihak media tidak dibenarkan berada dekat di lokasi operasi.

Difahamkan operasi ini diketuai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala lumpur dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Sementara itu, sumber dalaman memberitahu tujuan operasi diadakan adalah bagi mengesan kesalahan warga asing mengikut Akta Imigresen 1959/1963.

“Lokasi tumpuan adalah di kawasan Menara Plaza City One dan sekitar premis Jalan Masjid India.

“Setakat ini operasi masih berjalan dan jumlah tepat warga asing masih belum boleh didedahkan,” katanya.

Dalam pada itu sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan dari pihak polis dan imigresen.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan