Orangnya biar berilmu…

JIKA diukur dari segi penampilan dan bakat, tiada apa yang kurang pada wanita dikenali Sissy Imann ini. Apatah lagi, dia suka mencuba dan tidak mudah mengalah.

Bukan sekadar aktif menyanyi, tetapi Sissy kini berjaya meluaskan bakatnya sebagai pemuzik, pencipta lagu, guru vokal, pelakon dan pengacara.

Pun begitu, dia memilih menutup kisah peribadinya dengan rapi. Pada usia 25 tahun kini, kisah percintaan Sissy seakan masih ‘misteri’.

Ketika kebanyakan wanita seusianya mungkin sudah berumah tangga atau dalam jalinan cinta seorang kekasih, Sissy pula masih solo dan sering ditemani keluarga ke mana-mana sahaja.

Mengulas apakah dia tidak terfikir mengenai cinta dan ingin memiliki keluarga sendiri, Sissy berkata, dia melihat perkara itu masih terlalu awal buat dirinya.

“Walaupun sekarang saya sentiasa ke mana-mana bersama keluarga, itu yang saya mahu kerana lebih selamat. Pada saya, soal cinta akan datang sendiri apabila tiba masanya dan tak perlu risau.

“Buat masa sekarang pun, saya selesa berkawan dengan semua orang. Cuma, untuk bercinta biar masa menentukan. Saya akan cari seseorang yang betul-betul sayangkan saya. Saya akan lebih tertarik kepada individu yang tahu perkara yang saya tidak tahu. Maksudnya, dia berilmu dalam bidang yang saya tidak kuasai, katanya.

Dilihat terbuka membicarakan soal peribadi, Sissy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil berkata, dia tidak akan melatah kerana memikirkan ia perkara biasa dihadapi wanita pada usianya.

SISSY boleh bekerja dari rumah mengajar vokal dan bermain muzik bersama pelajarnya.
SISSY boleh bekerja dari rumah mengajar vokal dan bermain muzik bersama pelajarnya.

Mengulas aktivitinya di rumah pada Ramadan ketika negara masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei ini, Sissy berkata, masa berkualiti bersama keluarga terlalu banyak dan tidak terbatas.

“Apapun, ada perasaan bercampur baur dan sayu dalam hati ini kerana kita tahu tidak semua orang boleh hidup selesa kalau tidak keluar dari rumah untuk pergi kerja.

“Saya pula sangat bersyukur walaupun banyak aktiviti seni yang tergendala tetapi keadaan hidup sekeluarga tidak terjejas. Rezeki kami masih mencukupi, katanya.

Menurut Sissy, dia juga boleh bekerja dari rumah seperti selalu untuk mengajar vokal dan bermain muzik dengan pelajarnya.

Selain itu, duduk di rumah juga memberi peluang untuk dia melakukan aktiviti seperti belajar memasak, berlatih bermain muzik, mencipta lagu dan bermacam lagi.

Tiada istilah duduk di rumah hanya berehat dan tidur sahaja. Bagi Sissy, segala pergerakan bergantung pada kehendak individu sama ada rajin atau sebaliknya. Tepuk dada dan tanya hati.

Kekal gembira, tiada tekanan

Lebih sebulan ‘berkurung’ di rumah dan langsung tidak keluar walaupun pergi membeli barangan keperluan di pasar raya, Sissy berkata, situasi sekarang sudah menjadi rutin baharunya.

Dia bersyukur kerana sedikit pun tidak pernah bosan dan tertekan.

Katanya, tiada sebab untuk dia sedih atau murung kerana di rumah ada keluarga bersamanya.

“Setiap hari, saya gembira sahaja. Keceriaan penting untuk elak tekanan. Lagi pun, saya ada banyak aktiviti, cuma rindu nak buat persembahan dan jumpa rakan-rakan di luar memang tak boleh dinafikan.

“Saya juga rindu suasana bekerja di lokasi penggambaran drama. Tapi, nak buat macam mana keadaan sekarang tidak mengizinkan. Wabak pandemik Covid-19 masih menular, katanya.

Mengulas perjalanan kerjaya, Sissy berkata, semua masih lancar walaupun operasi kerja sepenuhnya dibuat dari rumah, namun ia sangat memadai.

“Alhamdulillah, masih banyak lagi aktiviti yang saya boleh buat di rumah. Dari segi kerjaya, masih ada rakaman atau penggambaran program TV dibuat secara dalam talian.

“Dapatlah juga saya merasa buat kerja seperti seorang jurukamera, jurulampu, penata bunyi dan segala urusan berkaitan rakaman kerana segala persediaan kena buat sendiri, katanya.

Menurut Sissy, pada awalnya dia berasa sukar tetapi lama-kelamaan sudah selesa kerana selalu membuat rakaman.

Katanya, dia semakin okey dan yang tidak dapat dielak kadang-kadang ialah gangguan bunyi dari kawasan persekitaran.