Padah berpesta hari jadi

SENGAJA undang padah dengan berkumpul beramai-ramai serta menganjurkan ‘pesta’ sambutan hari jadi.

Tindakan 27 individu terbabit yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengundang padah apabila diberkas polis di sebuah pangsapuri di Seksyen 7, di Shah Alam, pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, hasil maklumat OP Covid-19, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Shah Alam menyerbu dan membuat tangkapan pada 3.30 pagi hari ini.

“Seramai 25 lelaki dan dua perempuan berusia lingkungan 19 hingga 37 tahun ditahan kerana didapati berkumpul untuk menyambut hari jadi seorang rakan.

“Tindakan berkumpul itu adalah Kesalahan Pelanggaran Peraturan 6(1) Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPBP) 1988 di mana tiada seorang pun boleh berhimpun atau terbabit dalam mana-mana perhimpunan di dalam mana-mana premis bagi maksud sosial.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta dengan cuai melakukan perbuatan merebakkan jangkitan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (KK),” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Baharudin berkata, hasil pemeriksaan di premis itu, polis menjumpai dan merampas tiga botol arak, tiga botol arak kosong yang sudah diminum, sebuah alat pembesar suara mudah alih dan mikrofon.

“Polis turut menemui beg hitam mengandungi satu ketulan mampat daun kering berwarna hijau disyaki ganja yang dibaluti kertas timah dianggarkan seberat 120.35 gram. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Saringan ujian air kencing terhadap kesemua tangkapan turut dibuat dan sembilan lelaki daripada tangkapan didapati positif ganja termasuk suspek yang menyambut hari jadinya yang ke 20 tahun,” katanya.

Beliau berkata, semakan rekod jenayah mendapati salah seorang individu ditahan mempunyai rekod dikehendaki polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan membabitkan kes samun berkawan.

Katanya, kesemua tangkapan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan