Pahang mahu ‘panjangkan cerita’

Kuala Lumpur: Kegagalan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyelesaikan isu membabitkan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh menyebabkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mahu membawa kes berkenaan ke badan timbang tara, agensi kerajaan berkaitan atau Pesuruhjaya Sukan.

Setiausaha Agung PBNP, Norlia Abdul Manaf berkata, PBNP sudah membuat aduan kepada FAM, namun tiada kecenderungan dan tidak menunjukkan minat menyelesaikan isu berkenaan.

“FAM hanya mahu menunggu keputusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) terlebih dahulu dan ini tidak boleh diterima oleh PBNP kerana tidak berasas.

“Pemain ini sebagaimana yang diketahui adalah pemain tempatan dan kes ini membabitkan kawalan dan bidang kuasa FAM. Sebagai badan induk bola sepak negara yang menaungi ahli gabungan seperti PBNP, FAM selayaknya membantu bagi penyelesaian kemelut ini supaya keadilan dapat ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau juga mendakwa pemain berasal dari Gambia itu membuat tuduhan palsu, rekaan dan hanya mahu memanipulasi keadaan untuk tujuan tertentu sekali gus memberi pandangan negatif kepada persatuan terbabit.

Beliau berkata, PBNP mempunyai bukti kukuh serta dokumen sah sekali gus badan induk bola sepak negeri terbabit berada di pihak yang benar.

Sebelum ini, Sumareh mencetus kontroversi apabila meninggalkan pasukan Pahang tanpa memaklumkan kepada pihak pengurusan serta tidak menjalani latihan pada awal Ogos.

Dia yang masih mempunyai kontrak dengan skuad Tok Gajah sehingga 2022 mengambil tindakan keluar daripada pasukan Pahang kerana mendakwa tidak dibayar gaji selama beberapa bulan sehingga klausa 8.7 diaktifkan sebelum menyertai kelab Thailand, Police Tero FC.

Bagaimanapun, PBNP dalam satu kenyataan rasmi menafikan Sumareh tidak dibayar gaji dan PBNP sedia mengheret pemain itu ke Jawatankuasa Status FAM.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam ketika ditemui Arena Metro mengesahkan pihaknya menunggu keputusan daripada Fifa sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, Sumareh terlebih dahulu membuat aduan kepada badan induk bola sepak antarabangsa berkenaan dan jika FAM turut sama mengadili isu terbabit dibimbangi akan berlaku perbezaan keputusan.

“Bagaimana dua ‘mahkamah’ berbeza mengadili seorang pemain? Perkara terbabit akan menyebabkan adanya keputusan berbeza seterusnya mencetuskan kekeliruan atau timbul masalah lain. Lebih baik tunggu keputusan daripada Fifa dahulu dan jika badan induk bola sepak antarabangsa memutuskan FAM perlu menyelesaikan isu terbabit, kita akan segera membincangkan perkara berkenaan,” katanya.