Pahat memori bersama Sandra

SEMALAM, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita kematian penyanyi, Allahyarham Sandra Dianne yang popular menerusi lagu Hey Kau.

Menghembuskan nafas terakhir pada usia 26 tahun, Sandra tidak hanya meninggalkan karya muzik buat peminat, tetapi juga kenangan indah kepada rakan rapatnya.

Antaranya, Nana Sheme yang mengenali Allahyarham sejak beberapa tahun lalu dan terbaharu, bersama-sama bersaing di pentas program realiti Big Stage.

“Saya mengenali Sandra dan mula rapat dengannya sejak beberapa tahun lalu dan pemergiannya adalah satu perkara yang benar-benar meninggalkan kesan buat saya.

“Ketika dia terbabit dalam kemalangan jalan raya dan setiap kali ditanya mengenainya, saya sendiri menggeletar kerana seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku,” katanya.

Berkongsi mengenai sahabatnya itu, Nana berkata, Sandra bukanlah orang yang banyak berbicara kecuali perlu.

PETALING JAYA 04 OGOS 2020. Peserta Big Stage, Nana Sheme pada majlis sidang media Big Stage 2020. NSTP/ROHANIS SHUKRI.
PETALING JAYA 04 OGOS 2020. Peserta Big Stage, Nana Sheme pada majlis sidang media Big Stage 2020. NSTP/ROHANIS SHUKRI.

“Dia tak banyak bercakap atau bergurau, tapi bila perlu, dia akan bercakap. Dalam kata lain, dia adalah orang yang sedikit pendiam.

“Mungkin sebab itulah kami boleh sekepala. Personaliti dan perjuangan kami dalam industri tak banyak beza dan itu juga faktor penyebab kami boleh rapat,” katanya.

Ditanya mengenai kenangan terakhir bersama arwah, Nana berkata, memori yang akan terus diingati adalah ketika mereka berada dalam persaingan Big Stage yang masih berjalan.

“Setiap kali nak naik ke pentas, saya, Sandra dan peserta wanita lain akan bergandingan tangan. Kami akan kuatkan diri dan beri semangat antara satu sama lain.

“Malah, yang terakhir kalinya kenangan kami ketika dia masih lagi terlantar koma. Saya ada menghantar mesej peribadi buatnya.

“Walaupun saya tahu, dia tak baca mesej yang saya hantar itu, tapi saya berdoa agar bila dia bangun daripada koma, pasti dia akan baca kata-kata semangat berkenaan,” katanya.

Namun, harapan Nana itu tidak menjadi kenyataan apabila semalam, Sandra akhirnya dipanggil Yang Maha Esa untuk kembali kepada-Nya.

KENANGAN Nana bersama Allahyarham Sandra yang bersama-sama sertai program realiti Big Stage.
KENANGAN Nana bersama Allahyarham Sandra yang bersama-sama sertai program realiti Big Stage.

Peluang kedua yang membawa rezeki

Melangkah ke minggu kelima, perjuangan Nana sebagai peserta Big Stage perlu diteruskan. Begitu juga dengan kehidupannya.

Mengakui program itu umpama peluang kedua buat kerjaya seninya, Nana amat berterima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan.

“Bila saya sertai Big Stage, ada yang menyokong saya. Bukan saja peminat yang sedia ada, tetapi pada kalangan peminat baharu. Mereka memberi semangat buat saya untuk terus berjuang.

“Selain itu, peluang kedua ini juga menjadi pintu rezeki terkini buat saya apabila diberi kepercayaan untuk mempromosikan beberapa jenama dan kempen,” katanya.

Ditanya sama ada dia mula berasa penat dengan jadual latihan yang padat, Nana tidak menolak hakikat itu.

NANA  lebih fokus kepada komen positif dan bernas yang mampu menaikkan semangat diri.
NANA lebih fokus kepada komen positif dan bernas yang mampu menaikkan semangat diri.

“Rasa penat tentunya ada, tetapi penat yang buat saya gembira. Sebelum ini, saya sudah berehat selama dua tahun daripada industri.

“Bahkan, jadual kerja saya boleh dikatakan padat kerana perlu diseimbangkan di antara kerjaya dan tuntutan pelajaran.

“Jadi, kalau kita sibuk, itu tanda yang positif kerana jika tak ada kerja pula, ia pasti akan menimbulkan kerisauan,” katanya.

Tidak hanya berdepan penyokong setia, Nana juga bersiap sedia menghadapi segelintir golongan yang bergelar pembenci atau ‘haters’.

“Dalam ramainya penonton itu, mesti akan ada yang tidak menyokong dan akan meninggalkan komen negatif. Itu lumrah bila kita berada di bawah lampu sorot.

“Tapi, untuk saya sendiri, saya lebih fokuskan kepada komen-komen positif dan bernas yang mampu menaikkan semangat diri. Itu lebih penting,” katanya.

Tentunya, Nana berharap agar peluang kedua yang terbuka buatnya kini akan digunakan sebaik mungkin untuk nama serta karya seninya disambut baik oleh peminat hiburan tanah air.