Pak Lah masih sihat…

TUN Abdullah Ahmad Badawi masih sihat di samping keluarga tersayang.

Demikian penjelasan Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi menerusi akaun Facebook (FB) pada 8.53 malam ini susulan tular di media sosial mendakwa mantan Perdana Menteri itu sudah meninggal dunia.

“Kami mendapati terdapat penularan berita palsu melalui media sosial dan WhatsApp mengenai keadaan kesihatan Tun Abdullah.

“Beliau masih berada dalam keadaan sihat di samping keluarga tersayang.

“Pengurusan galeri menafikan penularan berita tidak benar itu,” kata kenyataan itu.

Justeru, orang ramai digesa untuk tidak menyebarkan berita yang tiada kesahihan kerana dibimbangi mencetuskan kegusaran.