Pakar bedah haram

DUBAI: Seorang wanita Eropah di sini, ditahan polis, selepas didapati menjalankan pembedahan plastik secara haram di pangsapurinya, baru-baru ini.

Malah, suspek yang mendakwa sebagai pakar bedah plastik dikatakan hanya menggunakan Instagram bagi mempromosikan khidmatnya itu.

Gulf News melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Dubai, Brigadier Jamal Salem Al Jallaf berkata, suspek mengambil kesempatan atas penutupan klinik pembedahan plastik ketika pandemik Covid-19 untuk menawarkan khidmat secara dalam talian berkenaan.

Beliau berkata, akaun Instagram suspek dikatakan diikuti 100,000 orang dan wanita itu menggunakannya mencari pelanggan yang mahukan ‘khidmatnya’ itu.

“Selepas ditahan, suspek mengakui hanya melakukan pembedahan plastik tanpa lesen daripada pihak berkuasa.

“Soal siasat terhadap suspek berkenaan mendapati, dia mempunyai pengalaman sebagai pakar bedah plastik di negara asalnya,” katanya pada Sabtu.

Ketika serbuan, anggota polis wanita melakukan penyamaran sebagai wanita yang berminat untuk mendapatkan khidmat pembedahan plastik.

Pihak berkuasa turut menemui beberapa peralatan digunakan suspek untuk melakukan pembedahan itu.

Selain itu, polis turut menemui beberapa peralatan untuk rawatan kosmetik lain termasuk cecair botox.

Dalam pada itu, Jamal Salem memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Beliau berkata, tindakan itu hanya mendedahkan pengguna dengan risiko kesihatan yang serius.

“Pengguna media sosial turut digesa supaya peka dan memastikan kesahihan iklan dalam talian di platform media sosial.

“Masyarakat sepatutnya mendapatkan khidmat perubatan daripada premis dan anggota profesional yang dilesenkan pihak berkuasa tempatan,” katanya.