Pakej lengkap

SIAPA kata ranking skuad Harimau Malaya di kedudukan 154 menutup peluang pemain tempatan berkelana ke liga utama Eropah.

Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) Safawi Rasid membuktikan keupayaan dan kemahiran yang dimiliki individu sebenarnya mampu menarik minat kelab luar untuk menyunting pemain tempatan bagi menguatkan pasukan mereka.

Perkara ini terbukti menerusi laporan akhbar di Portugal iaitu O Jogo di Porto menyatakan kelab Portimonense memantau perkembangan pemain berkenaan sejak enam bulan lalu sebelum mengambil keputusan mengikat Safawi dengan kontrak setahun.

Malah, populariti dikecapi Safawi di peringkat Asia turut menyakinkan lagi pengurusan kelab yang berpangkalan di wilayah Algarve untuk mengikatnya, sekali gus mengukuhkan barisan pemain bagi menghadapi saingan liga pada musim akan datang.

Menerusi laporan berita berkenaan, pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu diikat selama semusim dengan pilihan melanjutkan kontraknya setahun lagi dengan yuran yang tidak dinyatakan.

Kedatangan Safawi sudah tentu antara perkara yang dinantikan kelab berkenaan dan tidak sabar untuk melihat Safawi dapat menyesuaikan diri seterusnya beraksi bersama pemain lain.

Perjanjian itu dimeterai semalam hasil hubungan baik Theodoro Fonseca dengan pemilik JDT, iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Selain itu, pengurus kelab berkenaan, Paulo Sergio menunjukkan minat untuk memiliki sekurang-kurangnya seorang lagi pemain sayap.

Sebelum itu, menerusi kenyataan Pengarah Sukan Kelab Bolasepak JDT, Martin Prest di laman sosial Johor Southern Tiger (JST) memaklumkan pihaknya bersedia melepaskan Safawi untuk meneruskan kariernya di Eropah.

Mengikut rekod, Portimonense berada di kedudukan 17 daripada 18 pasukan dalam saingan Liga Premiera namun kelab terbabit terselamat daripada tersingkir selepas Vitoria yang berada di tempat 16 ‘ditendang’ kerana tidak memenuhi syarat kelab.