Panjang ada sesuatu buat PM

Gua Musang: Lelaki tertinggi di Malaysia berharap dapat menemui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sudah dianggap idolanya.

Mohd Azli Hisyam Abdul Ghafar, 26, yang ketinggian terkini 2.2 meter (220 sentimeter) berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat itu, malah semakin mengimpikannya selepas Muhyiddin memegang tampuk kerajaan.

“Saya mahu menyampaikan sesuatu kepada PM,” katanya ditemui di rumahnya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 3 di sini, semalam.

Mohd Azli atau lebih dikenali sebagai Panjang diiktiraf sebagai individu paling tinggi oleh Malaysia Book of Records (MBOR) pada 2014 dengan ketinggian 2.11 meter.

Pemuda lepasan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Alor Star, Kedah itu memberitahu kesihatannya tidak begitu baik dan terpaksa melakukan kerja sendiri termasuk membantu ibu bapanya untuk meneruskan hidup.

Katanya, dia bercita-cita menjadi tentera namun ia terpaksa dilupakan kerana faktor tubuhnya yang terlalu menonjol.

Terdahulu, Mohd Azli menerima kunjungan Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (Kemudi), Shahnun Hanis A Suhaimi dan Timbalannya Zabidi Ishar yang hadir bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan.