‘Parodi suka-suka saja’

Kuala Lumpur: “Saya rakam dan muat naik video itu untuk suka-suka saja bagi memenuhi permintaan rakan tetapi tak sangka pula, ia mendapat perhatian warganet hingga tular di laman sosial,” kata juruteknik penyelenggaraan, Mohammad Fadhil Md Yaziz.

Mohammad Fadhil, 23, memberi reaksi itu ketika diminta mengulas video parodi dimuat naiknya di TikTok yang tular kerana kebolehannya meniru suara beberapa selebriti lelaki tempatan popular .

Antara selebriti itu termasuklah Haqiem Rusli, Aiman Tino, Naim Daniel, Jamal Abdillah, Saleem, Tomok, Azlan & The Typwriter, Aepul Roza , Yabang Khalifah dan Tuju K-Clique.

Malah, video nyanyiannya meniru suara Haqiem Rusli meraih hampir 416 ,000 tontonan sehingga kini.

Menceritakan latar belakangnya, Mohammad Fadhil yang menetap di Taman Scientex, Pasir Gudang mengakui gemar menyanyi sejak kecil lagi dan pernah memasuki pertandingan nasyid ketika di bangku sekolah.

“Cuma, ada satu ketika, saya keluar bersama rakan dan menyanyi dengan meniru suara Haqiem Rusli dan mereka (rakan) mengatakan suara saya persis dengan penyanyi itu.

“Mereka kemudian mencadangkan saya memuat naik video nyanyian di TikTok dan daripada situ permulaan saya aktif di platform itu.

“Terkejut juga apabila video nyanyian saya itu tular dan ramai yang sukakannya kerana saya sebenarnya baru membuka akaun TikTok pada Disember lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MOHAMMAD Fadhil menarik perhatian warganet kerana kebolehan meniru suara selebriti lelaki tempatan popular.
MOHAMMAD Fadhil menarik perhatian warganet kerana kebolehan meniru suara selebriti lelaki tempatan popular.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, selain warganet,video itu juga menerima maklum balas positif daripada penyanyi asal seperti Haqiem Rusly dan Tuju K-Clique.

Namun, Mohammad Fadhil tidak menafikan ada menerima kecaman tetapi enggan mengambil peduli kerana lebih ramai yang memberi sokongan

“Keluarga tidak tahu sehingga video itu tular dan ibu yang pertama menontonnya. Mereka beri sokongan saja kerana tahu saya memang gemar menyanyi daripada dulu lagi.

“Melihat sambutan diterima,saya merancang memperbanyakkan lagi video di TikTok tetapi bukan dalam bentuk parodi saja tetapi berkaitan nyanyian saya.

“Jujurnya, saya memang menyimpan hasrat untuk menjadi penyanyi cuma belum ada peluang dan rezeki lagi,” katanya.